KUALA LUMPUR: Aktres jelita, Sophia Albarakbah menyifatkan pencalonan Top 10 bagi kategori Aktres TV Popular dan Aktres Filem Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-37 sebagai pengiktirafan besar dalam perjalanan seninya.
Sophia, 32, berkata pencalonan itu bukan sahaja menjadi penghargaan daripada peminat, malah, menjadi bukti sokongan yang tidak pernah putus sejak mula menceburi bidang seni.
“Sudah tentu saya gembira kerana ini adalah suatu pengiktirafan yang sangat tinggi buat saya. Bagi saya, pencalonan ini adalah penghargaan daripada peminat kepada artis.
“Saya juga melihat ia sebagai hadiah istimewa daripada mereka. Dengan berada dalam kelompok Top 10, saya fikir hubungan saya dengan peminat semakin rapat.
“Saya bersyukur kerana peminat masih mahu sokong dan lihat saya terus berkarya dan berjuang dalam industri seni,” katanya ditemui BH Online selepas pengumuman Top 10 ABPBH 37 dalam program hiburan sensasi, Melodi terbitan TV3 di Balai Berita di sini, baru-baru ini.
Ditanya mengenai harapan untuk menjuarai salah satu kategori tercalon, Sophia bagaimanapun tidak meletakkan sebarang jangkaan. Sebaliknya, Sophia menyerahkan segala-galanya kepada sokongan peminat.
“Terus terang saya tidak harap apa-apa. Apabila tengok senarai calon, semua hebat-hebat belaka. Ada campuran pelakon senior yang sangat berpengalaman dan pendatang baharu yang berbakat besar. Jadi. saya hanya ikut aliran semula jadi daripada sokongan peminat.
“Kalau ada rezeki untuk menang, Alhamdulillah. Kalau tidak pun, saya tetap gembira kerana percaya setiap calon yang tercalon juga ada bakat dan peminat sayang mereka. Bagi saya, ABPBH ini lebih kepada pertandingan untuk peminat, bukannya sesama artis,” katanya.
Mengakui wujud tekanan untuk kekal konsisten, Sophia bagaimanapun melihatnya dari sudut positif.
“Tekanan itu memang ada, tetapi ia bukanlah sesuatu yang membebankan. Sebaliknya, ia menjadi pembakar semangat untuk saya lebih fokus menghasilkan karya terbaik. Pada masa sama, lebih hargai peminat yang sentiasa memberi sokongan kepada kerjaya seni saya selama ini,” katanya.
Ditanya mengenai makna dan kepentingan ABPBH dalam kerjaya seninya, Sophia mengakui ABPBH mempunyai nilai yang cukup besar dalam kehidupannya sebagai anak seni.
“Bagi saya, ABPBH bukan sekadar pengiktirafan, tetapi, bukti bahawa hasil kerja kita betul-betul mendapat tempat di hati peminat. Untuk pencalonan ini ataupun sekiranya saya menang, ia saya anggap sebagai hadiah buat peminat kerana tanpa mereka, saya takkan berada di tahap ini.
“Pencalonan kali ini juga menjadi titik permulaan untuk saya terus membuktikan bahawa saya mampu melangkah lebih jauh dalam industri,” katanya.
Pelakon filem Tembuni Berdarah itu turut menyifatkan ABPBH sebagai medan persaingan sihat yang mendorong setiap artis terus memperbaiki mutu kerja masing-masing.
“Saya tidak melihat anugerah ini sebagai suatu pertandingan. Saya anggap ia sebagai persaingan sihat yang mencabar sekali gus membuatkan saya terus berusaha dan tidak rasa nak berhenti belajar.
“Saya kagum dan hormat dengan semua calon yang lain kerana bagi saya masing-masing ada kelebihan dan perjalanan seni tersendiri. Saya sendiri pun banyak belajar dengan melihat kerja dan cara mereka berkarya.
“Ada antara mereka adalah rakan saya. Sejujurnya saya turut berharap agar mereka berjaya memenangi kategori masing-masing,” ujarnya.
Sophia menjuarai trofi Aktres Filem Popular pada ABPBH 35 pada 2023 dan pernah tersenarai dalam kategori Artis Baharu Wanita Popular pada edisi ABPBH 33.
