Pukul isteri: Peniaga kekal dipenjara 10 tahun

JOHOR BAHRU: Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengekalkan hukuman 1penjara 10 tahun terhadap peniaga, Rosmaini Abdul Raof kerana menyebabkan kecederaan parah terhadap bekas isteri ketiganya, Jahidah Nordin 47, sehingga koma, empat tahun lalu.

Hakim Atan Mustaffa Yussof Ahmad menolak permohonan dibuat Rosmaini, 42, terhadap keputusan Hakim Mahkamah Sesyen pada 9 Disember tahun lalu yang mensabitkan dia bersalah dan dipenjara 10 tahun.

Dalam prosiding sama, Atan Mustaffa turut menolak permohonan silang dibuat pihak pendakwaan terhadap tempoh hukuman penjara yang dikenakan terhadap lelaki berkenaan.

Dalam penghakimannya, Hakim Mahkamah Tinggi itu berkata, Hakim Mahkamah Sesyen dilihat tidak melakukan sebarang kesilapan dalam menentukan saksi pendakwaan 1 (SP1) adalah saksi yang dipercayai.

“Kemunculan dua eksibit D45 dan D47 yang diragui itu pula hanya dikemukakan selepas tertuduh (Rosmaini) dipanggil membela diri dan selama perbicaraan lebih dua tahun, ‘versi baharu’ ini tidak pernah dikemukakan oleh mana-mana saksi pendakwaan,” katanya.

Katanya, tertuduh juga satu-satunya individu yang mempunyai akses ke lokasi kejadian iaitu apartment terbabit dan tertuduh juga mengaku pada SP1 dia ada memukul isterinya menggunakan tangan.

“Berdasarkan laporan perubatan juga menunjukkan mangsa cedera parah pada otak dan memerlukan pembedahan selain tertuduh cuba melarikan diri ketika ditangkap polis,” ujarnya.

Atan Mustaffa yang menolak permohonan silang dibuat pihak pendakwaan pula berkata, Mahkamah Tinggi tidak akan memberi campur tangan terhadap keputusan tempoh hukuman Mahkamah Sesyen berkenaan.

“Pendakwaan berhujah hukuman penjara selama 10 tahun adalah terlalu ringan jika dibandingkan dengan tahap kecederaan yang serius dialami mangsa.

“Walaupun mahkamah simpati pada mangsa yang kini dalam keadaan memerlukan penjagaan berterusan kesan perbuatan tertuduh, namun mahkamah tidak berpuas hati untuk campur tangan tentang keputusan tempoh hukuman Mahkamah Sesyen itu,” katanya.

Pada prosiding hari ini, kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Fatimah Mamu dan Umar Faiz Abdul Kohar manakala peguam, Kamal Hisham Jaafar; Muhammad Nor Tamrin dan Nurainaa Kamilah Zalizan mewakili Rosmaini.

Muhammad Nor kemudian memohon perintah penangguhan pelaksanaan hukuman penjara itu sementara pihaknya menfailkan notis rayuan ke Mahkamah Rayuan dan kemudian dibenarkan mahkamah.

Bagaimanapun, mahkamah meningkatkan jumlah jaminan daripada RM15,000 kepada RM25,000 serta dua syarat jaminan sebelum ini dikekalkan iaitu lapor diri di balai polis sebulan sekali dan dilarang mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan.

Pada 25 Februari lalu, Mahkamah Tinggi di sini, membenarkan permohonan Rosmaini untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara terhadapnya itu sementara menunggu rayuan sabitan dan hukuman didengar serta diputuskan Mahkamah Tinggi.

Rosmaini sempat dipenjarakan 79 hari selepas disabitkan bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini dan dihukum penjara 10 tahun.

Pada 17 Jun 2021, Rosmaini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini dan mengaku tidak bersalah atas tuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas bekas isteri ketiganya, Jahidah, 46, dengan memukul kepala, muka dan tangan serta menghentak kaki pada belakang badan wanita itu sehingga menyebabkan kecederaan parah.

Terdahulu, negara digemparkan dengan kejadian yang menimpa Jahidah itu apatah lagi ketika itu wanita berkenaan dilaporkan hamil.

Jahidah yang juga bekas kakitangan sebuah jabatan kerajaan dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban, Negeri Sembilan, selepas menerima rawatan awal di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.

Jahidah dilaporkan selamat melahirkan bayi lelaki, Eshan Nufail secara pembedahan pada 30 November 2021 dan kanak-kanak itu disahkan berstatus Orang Kurang Upaya (OKU).
N
Sementara itu, pada 15 Mac 2024, Mahkamah Rendah Syariah Seremban membenarkan permohonan fasakh dikemukakan keluarga Jahidah pada 1 Februari 2023. – Majestic

More From Author

Segamat bergegar lagi

Sungai tercemar: :Bekalan air pulih dalam 8-12 jam lagi