JOHOR BAHRU: Projek Rapid Transit System Link (RTS) Link Malaysia–Singapura di Stesen Bukit Chagar serta Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di bandar raya ini kini siap siap 65 peratus.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, perkembangan itu
menunjukkan kemajuan memberangsangkan yang membabitkan tiga komponen utama di stesen berkenaan.
Komponen pertama, iaitu jejambat sudah mencapai 91 peratus siap, stesen pula 73 peratus, manakala CIQ pada tahap 76.8 peratus.
“Tempoh 14 bulan lagi adalah sangat kritikal dan penting untuk kerja-kerja pembinaan projek ini disiapkan mengikut jadual ditetapkan yang dijangka beroperasi pada 1 Januari 2027.
“Hari ini saya buat lawatan pertama ke tapak sebaik struktur siap. Kita dah boleh naik sampai ke tingkat platform sedia ada dan melihat sendiri aliran pergerakan penumpang.
“Lebih menggembirakan, set tren RTS dijangka tiba di Depoh Wadi Hana pertengahan November ini sebelum ujian pergerakan bermula sekitar Disember,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau perkembangan kerja-kerja pembinaan di stesen berkenaan hari ini.
Jelasnya, perkembangan pesat projek mega itu sekali gus menandakan kemajuan signifikan dalam usaha menyediakan perkhidmatan rel moden menghubungkan dua negara jiran tersebut.
Walaupun set tren RTS tiba bulan ini orang ramai masih belum dibenarkan menaiki tren pada fasa awal itu kerana proses integrasi sistem, ujian keselamatan, signaling dan pelbagai pemeriksaan lain perlu dilakukan terlebih dahulu.
Siew Fook menegaskan, projek berimpak tinggi itu tetap disasarkan siap sepenuhnya 31 Disember 2026 dan mula beroperasi mulai Januari 2027.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif RTS, Dr Ahmad Marzuki Ariffin memaklumkan kerja-kerja sistem dan operasi kini telah mencapai 65 peratus.
Katanya, satu tren akan dibawa dari Singapore Rail Test Track manakala tiga lagi set tren dari Batu Gajah akan tiba sebelum hujung tahun ini.
“Secara keseluruhan, sebanyak lapan set tren empat gerabak setiap satu disediakan untuk operasi penuh nanti.
“Fasa ujian dinamik (dynamic test) dan pergerakan bebas tren (free run) dijangka bermula pada Julai 2026 melibatkan keseluruhan sistem operasi kedua-dua negara.
“Tempoh Julai hingga Disember 2026 adalah fasa kritikal untuk memastikan keselamatan, signaling, lif, eskalator serta proses kastam dan imigresen berfungsi sempurna,” katanya. – Majestic
