KUALA LUMPUR: Kejayaan demi kejayaan yang terus dilakar Pearly Tan-M Thinaah kini meletakkan mereka sebagai beregu wanita Malaysia terbaik era moden, selepas mencatat satu lagi detik bersejarah dengan menjuarai Masters Kumamoto, hari ini.
Pasangan nombor dua dunia itu kini berada pada kelas tersendiri apabila sudah mengumpul enam gelaran Jelajah Dunia BWF sejak tahun 2021, pencapaian yang tidak pernah dicapai mana-mana beregu wanita negara sebelum ini.
Deretan kejuaraan mereka bermula di Terbuka Switzerland 2021, diikuti Terbuka Perancis 2022, Terbuka Hong Kong 2024, Terbuka Thailand 2025, Terbuka Artik 2025 dan terbaharu Masters Kumamoto 2025.
Lonjakan prestasi mereka turut diperkukuh dengan pencapaian bersejarah apabila menjadi beregu wanita Malaysia pertama mara ke final Kejohanan Dunia di Paris, Ogos lalu.
Rekod semasa yang digenggam mereka juga sudah melepasi pencapaian beregu yang pernah menjadi sandaran Malaysia seperti Wong Pei Tty-Chin Eei Hui, Vivian Hoo-Woon Khe Wei serta Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean.
Sebagai perbandingan, Pei Tty-Ee Hui meraih empat gelaran bertaraf Siri Super (sebelum ditukar kepada Jelajah Dunia) – Terbuka Denmark dan Siri Super Masters Akhir 2008, Terbuka Indonesia dan Siri Super Masters Akhir 2009 selain satu gelaran Grand Prix di Grand Prix Emas Malaysia 2012.
Gandingan Vivian-Khe Wei pula memiliki dua gelaran Grand Prix hasil kejayaan di Terbuka New Zealand pada tahun 2013 dan 2017, manakala Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean meraih satu gelaran Jelajah Dunia di Antarabangsa Syed Modi 2018 serta dua gelaran bertaraf Cabaran Antarabangsa di Malaysia pada tahun 2012 dan 2016.
Deretan rekod itu mengesahkan Pearly-Thinaah kini berada pada tahap melepasi semua pencapaian beregu wanita Malaysia dalam era moden.
Di Kumamoto hari ini, Pearly-Thinaah mempertontonkan keberanian dan karakter juara apabila bangkit dalam kedua-dua set untuk menundukkan gandingan tuan rumah yang menghuni ranking ketujuh dunia, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi, 22-20, 21-19 dalam aksi final di Gimnasium Wilayah Kumamoto.
Kejayaan itu mengulangi skrip kemenangan mereka di pentas final Terbuka Artik bulan lalu, sekali gus melebarkan rekod positif ke atas pasangan Jepun berkenaan.
Lebih manis, Pearly-Thinaah kini bergelar pasangan Malaysia pertama menjulang gelaran Masters Kumamoto sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 2023, mengatasi pencapaian perseorangan lelaki, Leong Jun Hao, yang muncul naib juara tahun lalu.
Mengulas mengenai kemenangan ke atas Iwanaga-Nakanishi, Pearly berkata: “Ia perlawanan yang sangat sengit, mereka benar-benar memberikan tentangan yang hebat. Kami sangat gembira dengan kemenangan hari ini.”
Sementara itu, Thinaah pula berkata bahawa kunci kebangkitan mereka adalah saling menyokong antara satu sama lain.
“Saling menyokong dan memberi motivasi pada setiap mata,” kata Thinaah.
Kejuaraan di Kumamoto turut menjadi gelaran ketiga mereka musim ini selepas kejayaan di Terbuka Thailand dan Terbuka Artik. – BH
