KUALA LUMPUR: Dua dekad berlalu, magis Ada Apa Dengan Cinta? (AADC) masih bergetar dalam ingatan peminat yang menyaksikan kisah cinta antara dua watak ikonik, iaitu Rangga dan Cinta di layar perak.
Kini, kisah itu kembali bernafas dalam versi baharu berjudul Rangga & Cinta yang memberi suntikan lebih segar bertemakan muzikal.
Bersandarkan nostalgia dan fenomena dicetuskan, dua bakat baharu, iaitu El Putra Sarira, 21, dan Leya Princy, 19 dipilih memikul tanggungjawab menghidupkan kembali dua karakter yang pernah menjadi simbol cinta remaja era 2000.
Biarpun masing-masing menyifatkan itu bukanlah suatu tugasan mudah, apatah lagi AADC sudah mencapai tanda aras tertinggi, namun, baik El Putra dan Leya, masing-masing bersemangat memberi yang terbaik. Mereka mahu melihat karya itu ‘hidup’ dalam era semasa.
Bagi El Putra, pengalaman menjayakan watak Rangga menjadi perjalanan yang membuka banyak sisi baharu untuk dirinya lebih mengenali apa itu seni dan erti kejujuran dalam lakonan.
“Kalau ditanya babak mana paling susah, saya akan sebut babak muzikal. Semuanya perlu dibuat dengan komposisi sempurna dan tampak semula jadi.
“Kami bukan sekadar menyanyi, tetapi perlu menyampaikan isi hati melalui lirik dan nyanyian… Itu yang paling mencabar bagi saya,” katanya kepada BH Online.
Mengakui dirinya antara generasi yang membesar selepas era AADC, El Putra tidak menafikan dia meneliti naskhah asal itu berulang kali demi memahami setiap lapisan jiwa Rangga yang penuh misteri.
“Cara kami membangunkan karakter Rangga dan Cinta pastinya tidak terlepas daripada skrip yang sudah ditulis.
“Secara jujur, saya mula menonton AADC sebelum sesi uji bakat. Saya menontonnya antara lapan hingga 10 kali dan akhirnya saya lulus.
“Secara peribadi, saya berusaha untuk benar-benar masuk ke dalam kehidupan Rangga, mencari tahu apa yang dia suka, apa bahan bacaan kegemaran dan bagaimana dia berfikir.
“Selain itu, kami banyak berbincang dengan pengarah untuk mengembangkan lagi karakter Rangga dan Cinta,” katanya.
El Putra berkata, mereka menjalani latihan intensif selama lima bulan sebagai medan untuk saling memupuk keserasian dan mengasah teknik lakonan serta vokal sebelum menjejakkan kaki ke set penggambaran.
Bagi El Putra, kejayaan sebenar bukan hanya terletak pada meniru kehebatan pelakon asal, tetapi, pada keberanian menzahirkan jiwa baharu tanpa mencacatkan ‘roh’ asal kisah ini.
“Tempoh persiapan itu cukup untuk kami. Apabila masuk ke set penggambaran, kami sudah bersedia sepenuhnya daripada segi perasaan dan gaya penyampaian hingga ekspresi.
“Segala-gala yang kami bangunkan dalam lima bulan itu kami keluarkan di set. Kami tidak pernah tinggalkan ‘jiwa’ daripada pelakon asal, namun, banyak berdiskusi dan berpegang kepada skrip.
“Kami berdua juga banyak menginterpretasikan sendiri bagaimana Rangga dan Cinta itu seharusnya mengikut pandangan kami,” katanya.
Sebagai pelakon muda yang sedang mengorak langkah dalam dunia seni, El Putra percaya setiap peranan membuka pintu baharu untuk terus bereksperimen dan mengembangkan bakatnya.
“Kalau diberi peluang membawa watak lain selepas ini, saya tidak menutup kemungkinan untuk mencuba. Masih muda dan banyak perkara yang ingin saya eksplorasi,” katanya.
Leya pula menganggap setiap detik menjayakan watak Cinta sebagai perjalanan emosi yang mematangkan dirinya.
“Saya rasa setiap babak dan setiap proses yang kami lalui memberi saya kemahiran dan pengalaman baharu. Ada ketika saya langsung tidak dapat merasakan apa-apa dan sukar mencari perasaan yang tepat.
“Namun, saya jadikan itu cabaran dan walaupun kadang-kadang sukar, tapi pada saya tetap menarik,” katanya.
Bagi Leya, Cinta bukan sekadar karakter fiksyen, tetapi, simbol keberanian dan kejujuran seorang gadis muda mencari dirinya sendiri.
“Saya pertama kali menonton AADC ketika berusia tujuh atau lapan tahun. Setiap tahun saya boleh menontonnya sampai enam kali.
“Ketika mendapat projek ini, saya sangat bersyukur. Ia menjadi peluang untuk saya belajar banyak perkara baharu terutama bagaimana membezakan diri sebenar saya dengan watak Cinta yang saya cuba bawa secara semula jadi,” katanya.
Untuk benar-benar menyelami semangat Cinta, Leya mengakui dia berusaha menghidupkan kembali suasana era 2000 bermula daripada gaya rambut, muzik hingga cara bertutur.
“Saya cuba menyelami semangat Cinta, cara hidupnya, gaya rambut, lagu yang dia suka dan keperibadiannya.
“Sejujurnya, agak sukar untuk meninggalkan dunia Rangga dan Cinta. Ia terlalu magikal.
“Namun, banyak perkara baharu saya pelajari terutama kerana latar sekolah menengah dan suasana era 2000. Jadi, saya seperti menyesuaikan diri dengan era itu semula,” katanya.
Membawa watak Cinta menjadikan Leya lebih memahami sisi emosinya sendiri, malah, membuatnya sedar bahawa cinta bukan hanya mengenai pasangan, tetapi juga tanda penerimaan dan keikhlasan diri.
“Menarik untuk melihat bagaimana Rangga dan Cinta sekarang. Dahulu, saya lihat Cinta sebagai gadis yang stabil dan tahu apa yang dia mahu.
“Namun, apabila saya sendiri menjadi Cinta, saya lebih memahami kemarahannya, dilema yang dia hadapi dan akhirnya saya mengerti kenapa Rangga itu adalah Rangga.
“Dalam lima hingga enam bulan proses itu, ada banyak perkara yang membuat saya tersedar banyak hal yang berubah mengenai cara saya memandang filem ini,” katanya.
Menerusi versi asal, watak Rangga dalam AADC digalas oleh Nicholas Saputra, manakala Cinta dimainkan Dian Sastrowardoyo.
Filem Rangga & Cinta mengekalkan sutradara tersohor, Riri Riza, yang menampilkan pendekatan segar dengan menggabungkan unsur sastera, irama muzikal dan nostalgia babak ikonik antara dua watak utamanya.
Diterbitkan oleh Miles Films dengan sokongan Primeworks Studios (PWS) sebagai pengedar dan rakan pemasaran rasmi di Malaysia, Rangga & Cinta menampilkan barisan pelakon muda berbakat seperti Leya (Cinta), El Putra (Rangga), Jasmine Nadya (Alya), Kyandra Sembel (Maura), Katyana Mawira (Milly), Daniella Tumiwa (Karmen), Rafi Sudirman (Borne) dan Rafly Altama (Mamet).
Filem ini mengisahkan Cinta, pelajar popular yang berbakat dan disayangi ramai. Hidupnya sempurna, dikelilingi sahabat baik seperti Alya, Maura, Milly dan Karmen.
Namun, semuanya berubah apabila keputusan pertandingan puisi sekolah mengumumkan Rangga, pelajar pendiam dan misteri, sebagai pemenang lantas mencetuskan pertemuan yang akhirnya menukar takdir kedua-duanya. – BH
