MANCHESTER: Bekas kapten Manchester United, Roy Keane, menyifatkan Liverpool kini berada dalam krisis selepas kekalahan memalukan 3-0 kepada Manchester City dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Etihad.
Skuad kendalian Arne Slot itu tidak berdaya menyaingi keampuhan City yang menjaringkan gol menerusi Erling Haaland, Nico Gonzalez, dan Jeremy Doku.
Liverpool sempat mengharapkan kebangkitan apabila Virgil van Dijk menjaringkan gol pada separuh masa pertama namun jaringan itu dibatalkan selepas VAR mengesahkan Andy Robertson berada dalam posisi ofsaid dan mengganggu permainan.
Walaupun keputusan itu mencetuskan sedikit kontroversi, Keane berpendapat ia tidak mengubah hakikat sebenar bahawa Liverpool kini berdepan masalah lebih besar.
“Saya rasa ini waktu krisis buat Liverpool,” kata Keane. “Kita tahu yang mereka boleh dikalahkan di Man City, kita tahu ia tempat sukar dan Man City memberi isyarat jelas mengenai kebangkitan mereka.
“Tewas tujuh daripada 10 perlawanan dan lima kali kalah dalam saingan liga musim ini, ia sememangnya satu krisis buat kelab seperti Liverpool. City jauh lebih kuat, lebih baik secara teknikal dan fizikal berbanding Liverpool. Liverpool tampak seperti sebuah pasukan yang lemah hari ini.”
Selepas 11 perlawanan, Liverpool kini di tangga kelapan dengan 18 mata, di belakang Manchester United menerusi perbezaan jaringan. Mereka juga ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu, Arsenal, serta hanya lapan mata dari zon penyingkiran. – AGENSI
