RIO DE JANEIRO: Kepulangan semula bintang sensasi Brazil, Neymar ke kelab lamanya Santos semakin berubah menjadi mimpi ngeri apabila pasukan itu terus bergelut dalam zon penyingkiran liga utama Brazil.
Dengan hanya enam perlawanan berbaki, gergasi Amerika Selatan itu kini hanya dua mata daripada zon selamat, meskipun masih memiliki satu perlawanan dalam tangan.
Nasib malang Santos berterusan selepas mereka tewas 3-2 kepada Flamengo dalam aksi liga hujung semalam, kekalahan kedua berturut-turut di tempat lawan.
Perlawanan itu turut menandakan penampilan pertama Neymar dalam saingan liga sejak pertengahan September namun bintang berusia 33 tahun itu gagal mencipta impak apabila dikeluarkan pada minit ke-81 ketika Santos ketinggalan 3-0.
Lebih malang, kepulangannya disambut ejekan penyokong Flamengo yang melaungkan: “Neymar, pergi dari sini! Kamu kembali ke Santos hanya untuk bermain di divisyen dua!”
Walaupun Santos berjaya menjaringkan dua gol lewat permainan bagi mengurangkan jurang, ia tidak cukup untuk menafikan kekalahan berkenaan.
Neymar sekali lagi mencuri perhatian apabila meluahkan rasa tidak puas hati terhadap mutu pengadilan selepas tamat perlawanan.
Pemain kebangsaan Brazil itu dilayangkan kad kuning pada minit ke-36 selepas bertikam lidah dengan pengadil Savio Pereira Sampaio, susulan keputusan yang membawa kepada gol pembukaan Flamengo hasil sepakan sudut.
“Selain sangat teruk, dia juga sombong. Setiap kali kami cuba berbincang, dia berpaling dan melarikan diri,” kata Neymar kepada media tempatan.
“Saya menerima kad kuning kerana dia mengugut saya. Katanya, ‘Jika kamu datang dekat, saya bagi kad kuning.’ Saya hanya mahu bercakap dengannya.”
Neymar turut mempertikaikan gol pertama lawan dengan mendakwa terdapat kekasaran terhadap penjaga gol Brazao sebelum sepakan sudut diberikan.
“Pengadilan di Brazil sudah melakukan satu kesilapan besar. Kesilapan besar sering berlaku dan perlu ditangani segera,” katanya. “Pengadil sangat sombong, saya tidak tahu namanya, ia sesuatu yang teruk.”
Sejak kembali dari Arab Saudi selepas tempoh singkat bersama kelab Al-Hilal, Neymar masih bergelut dengan masalah kecederaan yang menjejaskan prestasinya.
Dengan tekanan semakin meningkat dan Santos terus berada di zon penyingkiran, kepulangan Neymar kini tampak lebih sebagai beban berbanding keajaiban yang diharapkan penyokong. – AGENSI
