BARCELONA: Hasrat penyokong Barcelona untuk melihat semula kehadiran legenda kelab itu Lionel Messi, bersama skuad Catalan disifatkan sebagai sesuatu yang ‘tidak realistik’, kata Presiden kelab, Joan Laporta.
Bintang Argentina berusia 38 tahun itu membuat kejutan apabila muncul di Stadium Camp Nou pada Ahad lalu dan menyuarakan harapan kembali ke kelab berkenaan suatu hari nanti untuk ‘bukan sekadar mengucapkan selamat tinggal sebagai pemain tetapi sesuatu yang belum pernah dilakukannya sebelum ini’.
Pemenang lapan kali Ballon d’Or dan penjaring terbanyak sepanjang zaman Barcelona itu meninggalkan kelab berkenaan pada 2021 selepas dua dekad berbakti, susulan masalah kewangan serius yang menyebabkan Barca tidak mampu mengekalkan khidmatnya.
“Atas rasa hormat yang mendalam terhadap Messi, kakitangan profesional kelab dan ahli Barcelona, saya berpendapat adalah tidak wajar untuk membuat spekulasi yang tidak realistik. Ia bukan sesuatu yang sesuai,” kata Laporta kepada Catalunya Radio.
Laporta, yang turut menerajui kelab ketika Messi meninggalkan Barca, menegaskan beliau tidak menyesali keputusan tersebut kerana ‘Barcelona berada di atas segala-galanya’.
Walaupun menolak kemungkinan Messi kembali sebagai pemain, Laporta mengesahkan kelab berhasrat mengadakan perlawanan penghormatan khas bagi meraikan karier bintang Argentina itu sebaik stadium Camp Nou siap dibaik pulih sepenuhnya.
“Perpisahan dahulu tidak berlaku sebagaimana yang kami harapkan. Jika acara penghormatan ini dapat menebus apa yang tidak sempat dilakukan, saya fikir ia sesuatu yang baik,” katanya.
“Messi wajar menerima penghormatan terbesar di dunia, dan amat indah jika ia berlangsung di hadapan 105,000 penyokong kami.”
Laporta turut menyifatkan kunjungan mengejut penyerang Inter Miami itu ke Camp Nou pada Ahad lalu adalah tindakan spontan yang mencerminkan kecintaannya terhadap kelab lamanya itu. – AFP
