MEXICO CITY: Pasukan keselamatan Panama, hari ini, mengesahkan memintas sebuah bot tunda di Lautan Pasifik yang membawa kira-kira 13.5 tan kokain, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Dalam operasi yang dijalankan berhampiran San Jose, sebuah pulau di luar pantai Panama, 10 lelaki dalam bot itu ditahan, menurut Perkhidmatan Aeronautik Nasional Panama (SENAN).
Penemuan itu dianggap sebagai rampasan dadah terbesar di perairan Panama sejak 2007, apabila 19 tan kokain dirampas.
Menurut agensi perkhidmatan itu, bot tunda berkenaan sedang berlayar ke utara melalui laluan laut yang luar biasa.
Pihak berkuasa berkata, kapal itu dalam perjalanan ke negara Amerika Tengah yang lain dan Mexico.
Kru kapal dikatakan cuba mengelak daripada ditahan dan melawan ketika ditangkap, menurut pihak berkuasa.
Dadah itu dibahagikan kepada lebih 11,500 bungkusan.
Empat daripada lelaki di atas kapal itu adalah warganegara Ecuador, tiga Nicaragua, manakala tiga lagi masing-masing berasal dari Venezuela, Peru dan Colombia.
Kesemua mereka diserahkan kepada pihak berkuasa.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, pasukan tentera AS berulang kali menenggelamkan bot laju yang disyaki digunakan untuk penyeludupan dadah di pesisir pantai Amerika Latin, mengakibatkan puluhan orang maut. – AGENSI
