KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) akan bekerjasama rapat dengan Jawatankuasa Siasatan Bebas yang diketuai bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif dalam menyiasat isu dokumentasi tujuh pemain warisan Harimau Malaya.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menjelaskan hasil siasatan jawatankuasa itu akan menjadi asas kepada pelaksanaan langkah pembetulan serta penambahbaikan yang perlu dipatuhi oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Bagaimanapun, Hannah menegaskan kerajaan perlu berhati-hati kerana sebarang bentuk campur tangan boleh menyebabkan FAM digantung oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Beliau berkata, penggantungan seperti itu bukan sahaja memberi kesan kepada skuad kebangsaan, tetapi turut melibatkan semua pasukan bawah umur serta entiti lain seperti Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Liga Bolasepak Amatur (AFL) dan kelab yang bersaing dalam Liga Malaysia.
Katanya, tindakan sedemikian akan menjejaskan keseluruhan ekosistem bola sepak tempatan, sambil mengingatkan bahawa beberapa negara pernah menerima nasib sama akibat campur tangan kerajaan.
“Antaranya termasuk Indonesia (2015) yang digantung selama setahun selepas Kementerian Pemuda dan Olahraga Republik Indonesia membekukan persekutuan bola sepak negara itu.
“Zimbabwe (2022) selepas badan dilantik kerajaan mengambil alih pentadbiran persekutuan bola sepak negara. Chad (2021) apabila kerajaan menubuhkan pasukan khas untuk menguruskan bola sepak negara serta Benin (2015) dan Brunei (2009) yang turut digantung kerana keputusan mahkamah dan kerajaan masing-masing mencampuri urusan pentadbiran persatuan bola sepak.
“Semua contoh ini menunjukkan FIFA tegas dalam menegakkan Statut 15(C) yang menetapkan setiap persatuan bola sepak mesti bebas daripada sebarang bentuk campur tangan politik atau kerajaan,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Md Raus semalam memaklumkan, jawatankuasa itu dijangka menyiapkan laporan penuh dalam tempoh enam minggu.
Selain itu, Hannah menegaskan kementeriannya akan terus mengimbangi antara keperluan mematuhi peraturan antarabangsa dan tuntutan akauntabiliti dalam negara bagi memastikan FAM memperkukuh tadbir urus serta mengembalikan keyakinan rakyat terhadap integriti dan kredibiliti bola sepak Malaysia.
Sementara itu, Jawatankuasa Rayuan FIFA semalam mengesahkan menolak rayuan FAM berhubung hukuman yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Tatatertib badan bola sepak dunia itu pada September lalu.
Keputusan itu menyaksikan hukuman denda 350,000 Swiss franc (RM1.8 juta) ke atas FAM kekal.
Tujuh pemain terbabit – Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel – turut digantung 12 bulan serta masing-masing didenda 2,000 Swiss franc (RM10,411).
FAM kini mempunyai tempoh 10 hari untuk memohon keputusan bertulis dan selepas penerimaan keputusan itu, mereka mempunyai 21 hari untuk mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS). – BH
