JOHOR BAHRU: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan memperdaya seorang lelaki dan dua remaja bagi tujuan ekploitasi kerja antara Mac hingga Mei lalu.
Vincent Sak Zhan Sheng, 22, yang bekerja sebagai jurujual, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hidayatul Syuhada Shamsudin.
Bagi dua pertuduhan pertama, dia didakwa bersama-sama lima lagi yang sudah dituduh dalam mencapai niat bersama-sama telah memperdagangkan dua remaja, masing-masing perempuan berusia 15 dan lelaki 16 tahun bagi maksud eksploitasi kerja di sebuah rumah di Taman Lagenda Putra, Kulai, antara April hingga 23 Mei lalu.
Bagi dua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, dibaca bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau minimum lima tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan ketiga, lelaki itu didakwa bersama-sama lima lagi yang sudah dituduh dalam mencapai niat bersama telah memperdagangkan seorang lelaki berusia 26 tahun bagi maksud eksploitasi kerja di lokasi sama antara 23 Mac lalu hingga 23 Mei lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12 ATIPSOM 2007, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Amirah Tasnim Saleh mencadangkan jaminan RM75,000 bagi semua pertuduhan dengan tiga syarat tambahan lapor diri di balai polis setiap bulan, pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah dan dilarang mengganggu saksi dan mangsa.
Peguam Datin Freda Sabapathy yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon jumlah jaminan yang lebih rendah dengan alasan anak guamnya hanya bergaji RM3,500 sebulan selain menanggung ibunya yang juga seorang ibu tunggal.
Beliau turut memohon supaya pasport antarabangsa tertuduh tidak diserahkan kepada mahkamah memandangkan sebagai jurujual tertuduh kerap ke China.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 bagi semua pertuduhan berserta tiga syarat tambahan seperti yang dicadangkan pihak pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 13 Januari 2026 bagi serahan dokumen dan sebutan semula kes. – Majestic
