JDT dominasi Melbourne City FC

JOHOR BAHRU: Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Cisco Munoz menyifatkan JDT sebenarnya mempamerkan permainan yang dominan namun hanya tidak bernasib baik apabila tewas 0-2 kepada Melbourne City FC dalam perlawanan malam tadi.

Menurutnya, pertemuan di Stadium Melbourne Rectangular, Australia malam tadi, dapat dilihat Harimau Selatan menguasai bahagian besar permainan pada kedua-dua separuh masa.

Bagaimanapun jurulatih kelahiran Sepanyol itu menegaska kegagalan memanfaatkan peluang menjadi faktor utama keputusan tidak memihak kepada mereka.

“Kami bermain dominan dari minit pertama sehingga tamat, tetapi kami tidak bernasib baik. Jika anda tidak menjaringkan gol daripada peluang yang anda ada, maka mungkin anda tidak boleh menjaringkan gol,” katanya dalam sidang akhbar sejurus tamat perlawanan.

Munoz mengakui JDT mencipta beberapa peluang jelas, namun ia ‘bukan malam mereka” apabila penjaga gol lawan tampil dengan beberapa penyelamatan penting.

Beliau turut menegaskan peri pentingnya peningkatan pada minit-minit awal perlawanan dan mengekalkan intensiti sepanjang 90 minit, sambil menyatakan pasukan menunjukkan perkembangan positif dari semasa ke semasa termasuk dalam aspek mengawal situasi pertahanan.

“Butiran kecil membezakan bola sepak di peringkat ini. Hari ini, butiran itu tidak memihak kepada kami. Apa yang penting ialah kekal tenang, analisis permainan dan terus bekerja dengan rentak yang sama,” katanya.

Mengulas ketiadaan Aref Aiman, Munoz sekali lagi mengingatkan bahawa pasukan perlu kekal fokus dan bekerja keras tanpa mengira siapa yang berada dalam skuad.

Munoz menutup sidang media dengan menegaskan pemain-pemainnya kecewa dengan keputusan itu, namun mereka harus segera bangkit.

“Kami sedih dengan keputusan ini, tetapi kami perlu terus bergerak ke hadapan. Intensiti mesti dikekalkan dan kami akan terus bekerja untuk perlawanan seterusnya,” katanya. – Majestic

More From Author

Pelakon Dharma Harun Al Rashid meninggal dunia

SPRM bebas lakukan siasatan