‘Doa yang terbaik pasukan kebangsaan boleh bersaing di Piala Asia’ – Faisal Halim

KUALA LUMPUR: Harimau Malaya meneruskan momentum cemerlang apabila mengekalkan rekod kemenangan bersih dalam lima aksi kelayakan Piala Asia 2027 selepas menewaskan Nepal 1-0, sekali gus mengukuhkan kedudukan di tangga teratas Kumpulan F.

Kemenangan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam menyaksikan skuad kendalian Peter Cklamovski semakin hampir untuk menggenggam tiket ke pusingan akhir Piala Asia 2027 di Arab Saudi.

Namun, kemelut Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berkaitan isu dokumentasi tujuh pemain warisan mencetuskan tanda tanya besar mengenai nasib Harimau Malaya sama ada layak ke Piala Asia 2027 atau tidak.

Episod akhir ‘drama’ itu yang akan berlangsung di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) nanti bakal menjadi penentu utama langkah Harimau Malaya ke pusingan akhir kejohanan tertinggi Asia itu.

Keputusan ‘pertarungan’ di CAS memberi kesan besar terhadap skuad kebangsaan yang mana jika FAM kalah di ‘pentas akhir’ itu, kemungkinan hukuman pemotongan mata atau pembatalan kemenangan Harimau Malaya ke atas Nepal dan Vietnam sebelum ini akan dikenakan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Andai kata hukuman itu dikenakan, Harimau Malaya harus melepaskan tiket ke Arab Saudi meskipun berjaya menamatkan saingan kelayakan di kedudukan teratas Kumpulan F.

Justeru, sukar untuk menggambarkan perasaan semua pihak khususnya barisan jurulatih, pemain dan penyokong sekiranya Harimau Malaya muncul juara Kumpulan F tetapi tidak layak ke pusingan akhir di Arab Saudi kerana isu berkenaan.

Tonggak skuad kebangsaan, Faisal Halim berkata semua pihak harus berdoa supaya nasib malang itu tidak menimpa Harimau Malaya dan skuad negara dapat beraksi di pusingan akhir Piala Asia 2027.

“Saya tak tahu nak cakap apa kalau benda itu (Harimau Malaya dipotong mata dan tidak layak ke Piala Asia 2027) berlaku. Sudah tentu kita akan kecewa sebab kita dalam momentum yang baik.

“Kita menang semua perlawanan, kita ada baki lagi satu perlawanan untuk penutup atau (penentu) sama ada kita layak atau pun tidak. Apa-apa keputusan pun, sekarang ini kita kena beri yang terbaik untuk pasukan.

“Sebagai pemain kita mahu bermain di peringkat yang tertinggi dan kita berdoa yang terbaik supaya pasukan kebangsaan boleh bersaing di Piala Asia. Walaupun apa pun berlaku, kita kena teruskan apa yang kita perjuangkan untuk pasukan kebangsaan.

“Apa yang berlaku terhadap rakan-rakan (tujuh pemain warisan), kita sentiasa sokong dan doa yang terbaik untuk rakan-rakan kita. Pada saya, pemain yang ada dalam pasukan kena jalankan tanggungjawab sebaik mungkin, tak kira apa yang sedang melanda,” katanya kepada media selepas aksi menentang Nepal.

Faisal atau lebih mesra disapa Mickey muncul wira Harimau Malaya dalam aksi menentang Nepal apabila meledak gol tunggal perlawanan selepas menyudahkan umpanan Safawi Rasid pada minit ke-55.

Kemenangan itu menyaksikan Harimau Malaya mengumpul 15 mata, enam mata di depan pasukan tangga kedua Vietnam yang akan turun beraksi perlawanan kelima mereka dalam Kumpulan F menentang Laos di gelanggang lawan, malam ini. – BH

More From Author

Cadangan ‘tutup’ Penang FC panaskan sidang DUN Pulau Pinang

20 tahun menyepi, Juliana Banos akhirnya sah sertai GenKRU The Finale