KULAI: Seramai 74 warga negara asing yang sedang berehat dan tidur di 10 buah rumah dua tingkat di Senai di sini terkejut apabila diserbu Jabatan Imigresen negeri ini tengah malam tadi.
Pengarahnya, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, serbuan pada pukul 12.45 tengah malam itu melibatkan 40 pegawai dan anggota penguat kuasa dari Bahagian Penguatkuasa JIM Johor.
“Kehadiran anggota penguat kuasa memasuki premis kediaman dua tingkat tersebut bagi menjalankan pemeriksaan menyeluruh dalam Ops Sapu adalah hasil risikan dan pemantauan berterusan di kawasan tersebut.
“Ketika serbuan dijalankan kesemua warga asing tersebut sedang berehat dalam rumah yang dijadikan sebagai tempat tinggal. Operasi berkenaan dilakukan hasil risikan dan pemantauan berterusan di kawasan tersebut.

“Ada antara mereka cuba melarikan diri serta bersembunyi dalam bilik namun berjaya diberkas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Seramai 74 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen terdiri daripada enam lelaki dewasa warganegara Indonesia, 32 lelaki dewasa Myanmar dan 14 lelaki dewasa Bangladesh.
Jelasnya, ini termasuk 18 wanita dewasa Myanmar, seorang bayi lelaki Myanmar berusia dua bulan, dua wanita Indonesia dan seorang kanak-kanak perempuan Indonesia berusia empat tahun.
Beliau memberitahu, mereka yang ditahan itu berusia antara 18 hingga 47 tahun.
Hasil pemeriksaan katanya, mendapati mereka tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah serta kesalahan tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.
“Kesemua individu yang ditahan disyaki telah melakukan kesalahan bawah Akta Imigresen 1959/63 dan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan lanjut dan tindakan selanjutnya mengikut peruntukan undang-undang,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mohd Darus berkata, JIM Johor akan terus mempergiat usaha penguatkuasaan di seluruh negeri terutama lokasi-lokasi hotspot bagi membanteras isu kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Jabatan ini akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi kepada mana-mana PATI serta majikan yang melanggar undang-undang,” tegasnya. – Majestic
