5 wanita Myanmar didenda tipu tawaran kerja

JOHOR BAHRU: Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman didenda RM5,000 masing-masing terhadap lima wanita warga Myanmar yang bersalah membuat penipuan tawaran pekerjaan dalam talian, minggu lalu.

Majistret Nabilah Nizam menjatuhkan hukuman berkenaan selepas semua tertuduh, Yan Yone Li, 29; Thi Thi Lwin, 29; Lone Shue, 23; Shwe Nanthar Kyaw, 25 dan Eaindray Phyoe, 21, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Mandarin.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kelima-lima wanita itu sebagai pihak kepada satu pakat jahat jenayah didakwa bersama-sama bersetuju melakukan pakat jahat jenayah yang menyalahi undang-undang iaitu membuat penipuan tawaran pekerjaan
atas talian menyasarkan warga Myanmar.

Perbuatan itu dibuat dengan niat untuk memperdaya mangsa menyerahkan wang bagi tujuan penipuan di sebuah unit apartment dekat Forest City, Gelang Patah di sini, pukul 7.30 petang, 12 November lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Peguam Lim Seay Sean yang mewakili semua tertuduh memohon hukuman ringan atas alasan semua anak guamnya adalah pesalah kali pertama.

“Mereka bekerja sebagai kerani industri perkhidmatan dengan gaji RM3,500 sebulan. Mereka masih bujang dan menanggung ibu bapa mereka.

“Mereka memberi kerjasama sepanjang tempoh siasatan dan telah mengaku bersalah sekali gus menjimatkan masa mahkamah.

“Perbuatan ini juga tidak membabitkan keganasan dan mereka sudah sedar serta insaf,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Deana Aqilah Aliman bagaimanapun memohon mahkamah mengenakan hukuman yang setimpal sebagai pengajaran.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM5,000 itu untuk setiap seorang dan turut memerintahkan mereka dipenjara lima bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Difahamkan, mereka menjelaskan denda terbabit. – Majestic

More From Author

3 maut dalam nahas kereta, dua lori

Wanita maut tersepit