JASIN: Seorang tukang cuci Universiti Teknologi MARA (UiTM) Jasin maut selepas motosikal yang dia tunggang melanggar seekor kuda di Jalan Sempang Bukit Kuda, Merlimau, di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.10 pagi, mangsa, Rajak Ismail, 59, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.
Pemangku Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Nor Azlinda Nordin berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y16ZR dalam perjalanan dari arah Serkam menuju ke tempat kerjanya di UiTM Jasin.
Katanya, setiba di lokasi mangsa dipercayai telah melanggar seekor kuda yang tiba-tiba melintas dari arah kiri jalan.
“Akibat rempuhan itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan.
“Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Jasin untuk proses bedah siasat,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambahnya, hasil siasatan pegawai penyiasat di lokasi mendapati tiada rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di kawasan berhampiran, namun polis telah mengesan pemilik kuda berkenaan.
“Pihak polis telah mengambil keterangan daripada pemilik kuda dan kita meminta orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Ahmad Aqil Yusoff di talian 013-9393747.
“Setakat ini kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
