Trump sedang timbang untuk gesa Israel bebaskan pemimpin Palestin, Marwan Barghouti

BAITULMAQDIS: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, sedang menimbangkan untuk menggesa Israel membebaskan tokoh politik Palestin yang popular, Marwan Barghouti, yang kini dipenjara lebih 20 tahun.

“Saya baru sahaja ditanya soalan itu kira-kira 15 minit sebelum panggilan anda,” kata Trump kepada majalah Time dalam satu wawancara yang diterbitkan pada Khamis.

“Itulah soalan hari ini. Jadi saya akan buat keputusan nanti,” kata Trump.

Dalam wawancara dengan Time 15 Oktober lalu, Trump berkata rakyat Palestin kini “tidak mempunyai pemimpin yang menonjol.”

Beliau berkata demikian selepas ditanya sama ada Barghouti boleh menyatukan rakyat Palestin ke arah penyelesaian dua negara dan sama ada beliau wajar dibebaskan walaupun Israel enggan berbuat demikian.

Barghouti, 66 tahun, dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan tambahan 40 tahun penjara pada 2004 selepas mahkamah Israel mendapati beliau bersalah merancang serangan hendap dan serangan berani mati terhadap warga Israel ketika Intifada Palestin Kedua.

Barghouti menafikan semua tuduhan itu.

Sebagai salah seorang pemimpin utama kebangkitan rakyat Palestin pada tahun 2000, Barghouti mengekalkan hubungan baik dengan pemimpin Hamas dan kumpulan lain, serta dihormati oleh pimpinan dan akar umbi pergerakan Fatah di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza.

Ramai dalam kalangan penyokong Fatah menganggap Barghouti sebagai figura yang menyamai bekas Presiden Palestin, Yasser Arafat.

Dalam pelan 20 perkara berfasa yang diusahakan bulan ini, Trump berjaya memeterai perjanjian gencatan senjata bagi menamatkan perang dua tahun antara Israel dan kumpulan pejuang Hamas.

Perjanjian itu termasuk pertukaran *20 tebusan warga Israel yang masih hidup di Gaza dengan kira-kira 2,000 tahanan Palestin.

Setakat ini, Israel turut menerima 15 daripada 28 mayat tebusan yang terkorban.

Bagi memastikan gencatan senjata kekal, beberapa pegawai kanan AS telah melawat Israel dalam tempoh 10 hari lalu — diketuai oleh Trump minggu lalu, diikuti utusannya Steve Witkoff, bekas utusan Jared Kushner , serta Naib Presidennya, JD Vance dan Setiausaha Negara, Marco Rubio.

Dua bekas tahanan Palestin yang baru dibebaskan mendakwa lapan pegawai keselamatan Israel memukul Barghouti hingga pengsan ketika pemindahan penjara pada 14 September lalu.

Kedua-dua tahanan itu, yang berada dalam kurungan berasingan dan tidak menyaksikan kejadian secara langsung, namun berkata mereka bercakap dengan Barghouti selepas serangan itu.

Perkhidmatan Penjara Israel menafikan tuduhan itu sebagai palsu dan menegaskan pihaknya beroperasi mengikut undang-undang sambil memastikan keselamatan serta kesihatan semua banduan. – AFP

Pada Ogos lalu, Menteri Keselamatan Negara Israel, Itamar Ben-Gvir yang berhaluan kanan, berkongsi satu rakaman video menunjukkan beliau melawat Barghouti di penjara sambil berkata: “Kamu tidak akan menang.”*

Persoalan siapa yang akan memimpin rakyat Palestin kini menjadi isu utama.

Presiden Palestin Mahmoud Abbas, 89, masih menguasai sebahagian wilayah Tebing Barat yang diduduki Israel, manakala Hamas mentadbir Gaza yang musnah akibat peperangan.

Abbas dipilih pada 2005 untuk tempoh empat tahun, namun pilihan raya berikutnya ditangguhkan berulang kali.

Trump, bersama Israel dan sekutu Barat serta Arab, mahu Hamas — yang melancarkan serangan pada 7 Oktober 2023 sehingga mencetuskan perang supaya melepaskan kuasa dan melucutkan senjata.

More From Author

Liverpool tempang tanpa Isak

Inteam tak kejar gelaran No 1