KUALA LUMPUR: Kumpulan nasyid Inteam menegaskan mereka tidak menganggap diri sebagai nombor satu dalam industri, biarpun mencetuskan fenomena kebangkitan nasyid terutama di platform media sosial baru-baru ini.
Anggota Inteam, Muhammad Hazamin Harun, berkata mereka tetap menghormati kedudukan kumpulan senior yang lebih dahulu mencorak landskap nasyid tanah air.
“Kami tak letakkan Inteam sebagai kumpulan nasyid nombor satu sebab masih ada abang-abang senior yang berjuang dan aktif dalam industri.
“Cuma Inteam membuka jalan kepada dunia yang lebih luas terutama untuk remaja. Sekarang kalau lihat industri nasyid, masih ramai yang lama seperti Raihan, Rabbani, Hijjaz, Mestica termasuk UNIC,” katanya pada sidang media konsert 25 Tahun Inteam Nur Kasih di sini, baru-baru ini.
Menurut Hazamin, populariti yang diraih Inteam ketika ini menjadi platform untuk generasi baharu mengenali nasyid, selain membuka peluang kepada kumpulan lain terus berkarya.
“Bila Inteam viral di TikTok, kita membuka ruang kepada anak muda yang sebaya anak-anak kami untuk mengenali lagu-lagu Inteam dan kumpulan lain juga.
“Anak-anak kami sendiri baru tahu ayah mereka dalam kumpulan nasyid yang popular. Ini peluang untuk semua kumpulan nasyid, lama atau baru, keluarkan karya sendiri kerana orang sudah mula melihat kembali irama nasyid,” jelasnya.
Sementara itu, trend kandungan kreatif jenama ‘Inteam Core’ di media sosial, termasuk parodi penggunaan kereta Toyota Avanza berwarna hijau, tidak dianggap sinis oleh anggota lain, Syahril Abdul Khalid.
Sebaliknya, ia dilihat sebagai usaha mengimbau nostalgia masyarakat terhadap irama nasyid tanah air.
“Ini semua mengenai memori. Mereka mengenang kembali zaman sekolah ketika naik kereta Avanza milik ustazah. Ini mengingatkan mereka bahawa pernah menyanyi dan tahu lagu-lagu nasyid ketika zaman sekolah.
“Inilah peluang yang kami mahu ambil untuk kembalikan memori itu. Ia bagus dan kami menyokong selagi ia memberi impak positif. Kami tidak anggap ia unsur sinis,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Inteam yang turut dianggotai Abdul Rahim Osman dan Hisyam Ahmad bakal mengadakan konsert berskala mega 25 Tahun Inteam Nur Kasih di Axiata Arena, Bukit Jalil, pada 1 Februari tahun depan.
Konsert anjuran Icon Entertainment itu dijangka menarik lebih 9,500 penonton dari seluruh negara. – BH
