Pelajar maut, tiga cedera kemalangan motosikal pulang dari masjid

KOTA TINGGI: Seorang pelajar maut manakala dua rakannya cedera dalam kemalangan melibatkan dua motosikal semasa dalam perjalanan pulang dari masjid di Jalan Hijau 8, Felda Penggeli Timur di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berkenaan kemalangan tersebut pukul 3.25 petang.

“Kemalangan melibatkan dua motosikal jenis Modenas Kriss ditunggang remaja lelaki berusia 15 tahun bersama-sama pembonceng iaitu remaja lelaki berusia 17 tahun.

“Sebuah lagi motosikal jenis Yamaha Y15ZR ditunggang dan dibonceng remaja lelaki, kedua-duanya berusia 14 tahun.

“Siasatan mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila Modenas Kriss masuk simpang dan menyebabkan Yamaha Y15ZR yang berada di laluan sama di belakangnya tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian sisi Modenas Kriss itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Insiden tersebut menyebabkan pembonceng Yamaha Y15ZR, Muhammad Aiman Mohd. Faiz Taman dari Taman Anggerik Tenggara, Kulai mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mayat dirujuk ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi manakala penunggang motosikal itu pula dirujuk ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di Kluang bagi rawatan lanjut.

“Penunggang dan pembonceng Modenas Kriss mengalami cedera ringan. Semua mangsa yang terlibat merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pinang,” ujarnya.

Beliau menambah, kes disiasat bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika sabit kesalahan boleh dipenjara lima hingga 10 tahun dan denda RM20,000 hingga RM50,000.

Malah katanya, pesalah juga boleh hilang kelayakan memegang lesen memandu selama tempoh hingga Lima tahun. – Majestic

More From Author

Ibu dakwa anak dibuli hingga dirawat di ICU

‘Semoga ada kelembutan hati dia untuk saya, anak’