ISKANDAR PUTERI: Empat lelaki ditahan kerana disyaki menyamun seorang lelaki Bangladesh bersenjatakan cangkul di Taman Pulai Mutiara di sini Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, kejadian itu berlaku pukul 7 pagi melibatkan mangsa berusia 43 tahun yang bekerja sebagai tukang rumah.
“Mangsa diserang oleh sekumpulan suspek bersenjatakan cangkul ketika menjalankan kerja di rumah pengadu yang mengupahnya.
“Mangsa telah diikat sebelum suspek terbabit melarikan beberapa barangan miliknya serta peralatan binaan di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Bertindak atas maklumat katanya, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri menahan empat suspek.
Katanya, mereka yang berusia antara 32 hingga 42 tahun ditahan pukul 9 malam tadi di kawasan Taman Pulai Utama, Kangkar Pulai.
Katanya, semakan mendapati tiga daripada suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah manakala ujian saringan awal air kencing mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamin.
“Polis turut merampas beberapa barangan termasuk sebuah pemotong rumput, satu grinder serta pakaian dipercayai digunakan semasa kejadian,” ujarnya.
Tambahnya, semua suspek kini direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 2 November ini bagi membantu siasatan bawah Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan kerana merompak secara berkumpulan dan bersenjata.
Jika disabitkan kesalahan ujarnya, mereka boleh berdepan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan. – Majestic
