Haaland samai rekod Ronaldo

MANCHESTER: Penyerang berbisa Manchester City, Erling Haaland jelas berada pada tahap berbeza.

Dia menjaringkan gol dalam 12 perlawanan berturut-turut bersama kelab dan negara sekali gus membantu City mengatasi badi di tempat lawan dalam saingan Eropah.

Haaland terus membuat kelab-kelab lain di Eropah cemburu dengan ketajamannya di depan gol.

Kapten, Bernardo Silva turut menjaringkan gol pada penghujung babak pertama ketika Villarreal, dikenali sebagai ‘The Yellow Submarine’, tenggelam di gelanggang sendiri pada aksi Liga Juara-Juara pagi tadi.

Kemenangan itu membolehkan City melakar rekod tanpa kalah selepas sembilan perlawanan dalam semua pertandingan dan skuad Pep Guardiola kini berada dalam prestasi terbaik.

Kali terakhir City menang perlawanan Liga Juara-Juara di tempat lawan adalah hampir 13 bulan lalu iaitu ketika menentang menentang kelab Slovakia, Slovan Bratislava.

Sejak itu mereka tewas empat kali dan seri sekali – rekod yang tidak sepadan dengan status mereka sebagai bekas juara Eropah dua tahun setengah lalu.

Haaland kini telah menjaringkan 15 gol dalam semua kejohanan musim ini dan musim masih belum mencecah penghujung Oktober.

Dengan jaringan dalam 12 perlawanan berturut-turut, Haaland juga menyamai rekod penyerang legenda, Cristiano Ronaldo.

Pencapaian itu menambah debaran menjelang aksi menentang Aston Villa pada Ahad ini di mana Haaland berpeluang memecahkan rekod bintang Portugal terbabit. – AGENSI

More From Author

Salah, Hakimi berentap

Pesawat bawa PM Australia buat pendaratan cemas di Missouri – Laporan