Cklamovski bangga pencalonan Arif Aiman

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Peter Cklamovski meluahkan perasaan bangga selepas bintang sensasi bola sepak negara, Arif Aiman Hanapi tercalon bagi anugerah Pemain Terbaik Tahunan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Malah, pengendali berusia 47 tahun itu turut mendoakan kejayaan Arif Aiman meskipun pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu bakal bersaing dengan dua pencabar hebat iaitu bintang Qatar, Akram Afif dan penyerang Arab Saudi, Salem Al Dawsari.

“Kami semua amat berbangga dengan Arif, sama juga dengan seluruh rakyat Malaysia. Dia sudah berlepas lebih awal untuk menaiki penerbangan ke sana (selepas aksi menentang Laos, semalam).

“Kami mendoakan semuanya berjalan lancar kerana dia memang layak untuk pengiktirafan itu. Saya pasti seluruh rakyat Malaysia turut berbangga dengan persembahannya malam ini,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan dengan Laos di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam.

BH Sukan sebelum ini melaporkan Arif Aiman mencipta sejarah sebagai pemain Malaysia pertama dicalonkan bagi anugerah berprestij itu serta antara pemain termuda sejak 2019 (Akram Afif).

Majlis anugerah itu akan berlangsung di Riyadh, esok dengan Arif Aiman semalam turut memuat naik gambarnya berada dalam pesawat di Instagram dengan meletakkan simbol ia menuju ke Arab Saudi.

AFC sebelum ini memaklumkan prestasi cemerlang yang ditampilkan Arif Aiman bersama JDT dan pasukan kebangsaan pada musim lalu membolehkannya tercalon dalam anugerah itu.

Pemain berusia 23 tahun itu mengumpul lima gol dan dua bantuan jaringan untuk JDT dalam Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) selain 14 gol dan 13 bantuan jaringan di peringkat domestik yang membantu JDT menjulang kejuaraan berganda dalam saingan domestik buat kali ketiga berturut-turut.

Prestasi hebat itu juga melayakkannya meraih gelaran Pemain Paling Bernilai (Liga Malaysia) buat kali keempat berturut-turut, selain menyapu anugerah Pemain Tengah Terbaik. – BH

More From Author

Ribut landa Kuala Langat, wanita terperangkap diselamatkan di Sijangkang

Jumlah kematian di Gaza kini 67,913 manakala 170,134 cedera sejak Oktober 2023