Antony tiru gaya Ronaldo

MADRID: Bekas bintang Manchester United, Antony mendiamkan pengkritiknya apabila meledak dua gol buat Real Betis ketika seri menentang Villarreal sambil meraikan jaringan penyamaan dramatik itu dengan gaya ikonik Cristiano Ronaldo.

Pemain sayap Brazil itu yang sebelum ini digelar pembelian gagal bernilai lebih RM453 juta dan disisihkan daripada skuad utama United – membuktikan kemampuannya dengan persembahan hebat di penghujung perlawanan La Liga yang penuh emosi di Sepanyol.

Antony menjaringkan dua gol untuk menyelamatkan satu mata buat Betis termasuk gol penyamaan pada masa kecederaan yang mengejutkan ramai pengkritiknya.

Gol pertamanya hadir pada babak kedua menerusi penyudah kemas selepas memotong dari sebelah kanan memperlihatkan kemahiran dan kreativiti yang menjadi sebab Betis merekrutnya.

Namun, detik paling mencuri tumpuan ialah jaringan kedua pada minit ke-94 apabila Antony melakukan percubaan dalam kotak penalti sebelum berlari ke arah penyokong dan meraikan dengan gaya ‘calma’, meniru keraian terkenal Ronaldo di hadapan penyokong lawan yang terdiam.

Beberapa bulan lalu, Antony hanya berlatih bersama kumpulan pemain tidak digunakan di Old Trafford dab menunggu masa depan yang tidak menentu selepas dibelenggu kritikan.

Pernah digelar’penipu’ oleh sebahagian penyokong United kerana prestasi hambar, malam gemilang di Sepanyol itu seolah-olah menjadi jawapan balas Antony kepada semua yang pernah meragukannya dan satu peringatan tentang bakat sebenar yang masih dimilikinya. – AGENSI

More From Author

Kereta Singapura robohkan kios petrol di JB, dipandu keluar bersama pam minyak masih terpasang

Amorim guna taktikal ‘lambung’ lawan Liverpool