Afiq dinobat  Olahragawan Johor 

JOHOR BAHRU – Pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Afiq Fazail dinibatkan senagai Olahragawan Johor pada Majlis Anugerah Sukan Johor ke-31 (ASJ31) Tahun 2025, malam tadi.

Beliau menyifatkan anugerah itu sebagai hadiah hari lahir terbaik untuknya.

Afiq menjadi tulang belakang skuad Harimau Selatan ketika membantu pasukan memenangi kejuaraan quadruple (empat piala) semusim pada tahun 2023 dan 2024.

Beliau yang kini berusia 31 tahun berasa amat bersyukur atas pengiktirafan yang diberikan kerajaan negeri menerusi Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) terhadap dirinya sepanjang 21 tahun kariernya.

Anak jati Pontian itu mengakui tidak menyangka akan memenangi anugerah berprestij berkenaan memandangkan dirinya terlibat dalam sukan berpasukan.

“Alhamdulillah, pertama sekali saya rasa bersyukur lah dengan apa yang saya dapat ini. Tak sangka terima anugerah ini, ia jadi sangat bermakna apabila menerimanya pada hari lahir saya.

“Satu kata-kata untuk atlet-atlet Johor yang lain, jangan mudah berputus asa kalau nak terus berjaya. Bukan mudah nak berjaya, ada jatuh bangun, jadi kena cekal dan kuat,” katanya ketika ditemui.

Pada majlis itu, Afiq  membawa pulang wang tunai berjumlah RM7,000 dan sebuah trofi.

ASJ31 merupakan pengiktirafan tertinggi negeri terhadap kecemerlangan atlet, jurulatih, pasukan serta organisasi sukan yang telah mengharumkan nama negeri Johor di peringkat kebangsaan dan antarabangsa sepanjang tahun 2023 dan 2024.

Anugerah Olahragawati Johor menjadi milik Tee Ai Xin yang memenangi pingat perak dalam acara ping pong wanita di SEA Games 2023 Kemboja dan memenangi emas dalam acara beregu wanita di 

Kejohanan Table Tennis SEA Championship 2024 (Bangkok).

Dalam majlis sama, Umar Osman dan sukan olahraga menerima Anugerah Olahragawan Harapan Johor manakala Dania Sofea Zaidi daripada sukan badminton meraih Anugerah Olahragawati Harapan Johor.

Anugerah Pasukan Lelaki terbaik dimenangi oleh JDT manakala Anugerah Pasukan Wanita Terbaik dimenangi Pasukan Bola Keranjang Wanita Negeri Johor. – Majestic

More From Author

Pekerja ‘hardware’ maut bertembung kereta 

Menu Siswa Rahmah bantu 9,000 mahasiswa UTM