HANOI: Hujan lebat luar biasa yang melanda Vietnam tengah sejak Ahad lalu mengakibatkan sekurang-kurangnya tujuh maut dan lebih 100,000 rumah ditenggelami air, menurut Kementerian Alam Sekitar hari ini.
Wilayah pantai Vietnam dilanda hujan berterusan dengan rekod taburan sehingga 1.7 meter dalam tempoh 24 jam.
Menurut laporan kementerian itu, tujuh orang dilaporkan maut manakala lima lagi masih hilang.
Lebih 150 kejadian tanah runtuh direkodkan, 2,200 hektar tanaman musnah dan sebanyak 103,525 rumah terjejas akibat banjir.
Lebih 21,000 penduduk yang dipindahkan mula pulang ke rumah masing-masing selepas paras air di bandar pantai Hue mulai surut pagi tadi.
Bagaimanapun, hujan kembali tengah hari tadi, memaksa loji hidrokuasa tempatan melepaskan air daripada empangan.
Wilayah tengah Danang turut dijangka berdepan banjir dalam tempoh dua hari akan datang apabila paras sungai di bandar itu berada pada tahap membimbangkan, menurut kementerian sama.
Saintis menyatakan perubahan iklim akibat aktiviti manusia menyebabkan kesan cuaca melampau seperti ribut dan banjir menjadi semakin dahsyat serta meragut lebih banyak nyawa.
Sepanjang sembilan bulan pertama tahun ini, bencana alam termasuk ribut, banjir dan tanah runtuh mengorbankan atau menyebabkan 187 orang hilang di Vietnam.
Lebih 240,000 hektar tanaman musnah dan 38,000 rumah rosak atau runtuh, dengan jumlah kerugian ekonomi dianggarkan melebihi AS$610 juta (RM2.9 bilion), menurut Pejabat Statistik Am Vietnam. – AFP
