BATU PAHAT: Seramai 32 warga asing diberkas selepas menggempur beberapa lokasi panas di daerah ini dan Batu Pahat semalam.
JIM Johor dan Unit Penguatkuasa Cawangan Batu Pahat melakukan serbuan di premis makanan, pusat cuci kereta serta kawasan kediaman warga asing.
Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, serbuan tersebut dilakukan menerusi Ops Selera, Ops Minyak dan Ops Sapu.
“Operasi ini dijalankan hasil daripada risikan berterusan selama seminggu serta maklumat awam yang diterima melalui saluran aduan rasmi JIM.

“Dalam serbuan yang dijalankan, 96 warga asing diperiksa dan seramai 32 orang ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Ini termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah, menyalahgunakan pas lawatan kerja sementara, melakukan kerja tanpa kebenaran yang sah dan tinggal lebih masa di Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Mereka yang ditahan itu terdiri daripada lima lelaki dewasa warganegara Bangladesh, lima lelaki dewasa warga India dan seorang lelaki dewasa warga Pakistan.

Menurutnya, ini termasuk empat lelaki dewasa warga Myanmar, lapan lelaki dewasa warga Indonesia, lapan wanita dewasa warga Indonesia dan seorang wanita dewasa warga Myanmar berusia 19 tahun hingga 52 tahun.
Semua yang ditahan katanya, disyaki melakukan kesalahan bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Mereka kini ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika di sini untuk siasatan dan tindakan lanjut.
“Sebanyak empat keping Borang 29 iaitu saman kepada saksi telah dikeluarkan sepanjang pemeriksaan untuk membantu siasatan,” ujarnya. – Majestic
