KUALA LUMPUR: Penyanyi Zizi Kirana menzahirkan rasa kecewa terhadap pihak yang mempertikai penyertaan wanita, termasuk dirinya, dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza.
Zizi, 39, menerusi hantaran di Instagram (IG) berkata, sebelum ini beliau mengambil pendekatan berdiam diri, namun memilih untuk memberi penjelasan selepas isu berkenaan terus dipersoalkan warganet.
Beliau turut mengulang siar hantaran Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cinta Salam Malaysia, Ahmad Musa Al-Nuwayri, di Threads yang tampil membela artis terbabit dalam misi berkenaan.
“Sedikit kecewa dengan pemikiran orang yang masih mempertikai mengapa artis ikut misi, malah ada yang mempertikai hukum wanita menyertai misi ini, sedangkan mufti sudah memberi jawapan. Lebih baik kita fokus kepada misi membantu Gaza,” katanya.
Dalam hantaran sama, Zizi turut berterima kasih kepada pihak yang sentiasa mendoakan serta menyokong usahanya.
Sementara itu, Ahmad Musa menjelaskan artisyang menyertai misi GSF bukan sahaja menanggung kos sendiri, malah sanggup meninggalkan keselesaan hidup demi menjayakan perjuangan itu.
“Artis membiayai sendiri kos untuk ke misi ini. Malah mereka meninggalkan segalanya di Malaysia termasuk keluarga dan kerjaya.
“Bayangkan orang seperti Zizi dan Ardell Aryana. Mereka boleh saja memilih untuk kekal dengan kehidupan selesa, tetapi sanggup berkorban demi bertugas. Kami hanya menyokong mereka,” tegasnya.
Terdahulu, perdebatan timbul dalam kalangan warganet berhubung keperluan wanita terbabit dalam misi kemanusiaan kerana dikatakan meninggalkan pasangan, anak dan keluarga.
Pada 31 Ogos lalu, Zizi bersama pelakon dan usahawan, Ardell Aryana, menyertai misi GSF ke Gaza bersama beberapa aktivis Malaysia dengan berlayar melalui Laut Mediterranean bersama puluhan kapal dari 44 negara. – BH