United silap beli penjaga gol – Scholes

MANCHESTER: Paul Scholes menyifatkan kegagalan Manchester United memanfaatkan jendela perpindahan musim panas lalu sebagai punca utama prestasi hambar kelab itu termasuk kekalahan 0-3 kepada Manchester City dalam aksi derbi, Ahad lalu.

Kekalahan itu menyaksikan United terus bergelut di awal musim dengan hanya mengutip empat mata daripada empat perlawanan liga, selain turut dikejutkan Grimsby Town di Piala Liga.

Ironinya, situasi hambar ini berlaku biarpun United membelanjakan lebih 200 juta pound (RM1.14 bilion) bagi membawa masuk empat muka baharu iaitu Bryan Mbeumo, Matheus Cunha, Benjamin Sesko dan penjaga gol muda Belgium, Senne Lammens.

Namun, legenda kelab itu ternyata tidak puas hati dengan perancangan di posisi penjaga gol.

Lammens yang dibeli dengan harga 18.2 juta pound (RM104 juta) sekadar memanaskan bangku simpanan ketika menentang City manakala Altay Bayindir yang kurang meyakinkan kekal diturunkan.

Andre Onana pula dipinjamkan ke Trabzonspor minggu lalu selepas beberapa aksi penuh kesilapan, termasuk ketika tewas kepada Grimsby.

Lebih mengundang persoalan, United gagal mendapatkan Gianluigi Donnarumma yang hanya berharga 26 juta pound (RM149 juta), sebaliknya dibawa masuk City dan terus menyerlah pada penampilan sulungnya pada derbi Manchester.

“Penjaga gol sepatutnya jadi isu utama. Adakah mereka benar-benar perlu tunggu perlawanan menentang Grimsby untuk sedar Onana tidak cukup bagus? Kemudian bila nampak Donnarumma tersedia, itu peluang keemasan yang sepatutnya direbut,” kata Scholes dalam audio siar (podcast) BBC Football Daily.

“Kalau United tidak masuk pasaran untuk Donnarumma ketika dia tersedia, itu bagi saya satu ‘jenayah bola sepak’. Dia boleh jadi penjaga gol terbaik dunia… dia mengingatkan saya kepada Peter Schmeichel.”

Scholes turut mempersoalkan harga Lammens yang dianggap terlalu rendah untuk seorang penjaga gol utama.

“Kalau dia betul-betul hebat, dia patut terus bermain dalam perlawanan besar, bukan duduk di bangku simpanan,” tegasnya.

Selain masalah di gawang, bekas pemain tengah itu juga mengkritik kelemahan di bahagian tengah yang mudah ditembusi City.

Manuel Ugarte kelihatan tenggelam di sisi Bruno Fernandes yang terpaksa beraksi di posisi bertahan.

“Sepanjang musim panas saya fikir pemain tengah yang bertenaga dan mampu mengawal permainan adalah keutamaan. Tapi bahagian perekrutan pilih untuk beli penyerang.

“Memang bahagian serangan perlu diperbaiki, tapi adakah sampai perlu tiga orang sekali gus? Saya tak pasti,” katanya lagi.

United kini di tangga ke-14 Liga Perdana Inggeris dan bakal kembali beraksi menentang Chelsea pada Sabtu ini, sebelum bertemu Brentford serta Sunderland menjelang rehat antarabangsa. – AGENSI

More From Author

Pelajar cemerlang lemas di air terjun

Pemain terkaya dunia bakal beraksi di Liga M