BANGKOK: Tentera Thailand melepaskan peluru getah dan gas pemedih mata ke arah penduduk warga Kemboja yang memasuki wilayah Thailand secara haram.
Kejadian berlaku ketika penduduk cuba merobohkan pos kawalan tentera yang mereka dakwa dibina di kawasan yang menjadi milik Kemboja.
Peristiwa ini berlaku berhampiran lokasi dua kuil purba yang menjadi punca pertikaian sempadan berdekad lamanya antara kedua-dua negara.
Menurut komander tentera Thailand, Kolonel Prawit Hengkum, pasukannya melepaskan tembakan amaran dan kemudiannya menembak peluru getah selepas penduduk Kemboja melemparkan batu dan bom api.
“Mereka menyerbu masuk ke kawasan Thailand secara haram. Kami sudah memberi amaran kepada mereka agar tidak merosakkan harta benda awam.
“Kami terpaksa mempertahankan diri,” katanya.
Beliau berkata kejadian itu berlaku di Ban Phum Srol, sebuah kampung di wilayah timur laut Si Sa Ket, kira-kira 500 kilometer (310 batu) dari ibu kota Thailand, Bangkok.
Seorang pegawai tentera Kemboja, yang enggan namanya didedahkan, berkata seorang penduduk Kemboja cedera di lengan akibat terkena peluru getah.
“Kawasan itu milik kami. Tentera Thailand menceroboh dan membina pos kawalan,” katanya.
Beliau berkata pertempuran itu berakhir selepas pihak berkuasa Kemboja campur tangan dan memujuk penduduk untuk berundur.
Kira-kira 200 penduduk warga Kemboja menyertai tunjuk perasaan itu.
Sempadan yang menjadi pertikaian di antara kedua-dua negara tegang sejak 2008, ketika kuil purba Preah Vihear di Kemboja diberikan status Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Mahkamah Dunia memberikan hak milik kuil itu kepada Kemboja pada 1962, tetapi kawasan sekitar kuil itu, termasuk sebahagian wilayah berhampiran kuil Ta Moan dan Ta Krabey, kekal menjadi pertikaian. – AGENSI
