OVIEDO (Sepanyol): Peguam Negara Sepanyol membenarkan siasatan ke atas kemungkinan jenayah yang dilakukan Israel di Gaza, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik media tempatan hari ini.
Menurut dekri yang pertama kali didedahkan oleh penyiar Cadena SER, siasatan itu akan meneliti sama ada tindakan Israel di Gaza merupakan pelanggaran serius undang-undang hak asasi manusia antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Hasil siasatan akan disampaikan kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
Sebelum membuka siasatan, polis Sepanyol telah mengumpul keterangan dan bukti lain. Penyiasat berkata bahan yang diperoleh menunjukkan terdapat pelanggaran serius undang-undang antarabangsa.
Dekri itu menekankan kepentingan mengumpul bukti di Sepanyol, dengan menyatakan ia boleh menyokong kerjasama antarabangsa “supaya pada masa depan ia dapat digunakan dengan sewajarnya sebagai bukti yang memberatkan jenayah yang dilakukan.”
Pejabat Peguam Negara juga merujuk kepada obligasi Sepanyol di bawah Konvensyen Genosid serta penyertaannya dalam kes genosid yang dibawa Afrika Selatan terhadap Israel di ICJ pada Jun 2024.
Menurut laporan itu, undang-undang Sepanyol membenarkan mahkamah mendengar kes genosid dan jenayah terhadap kemanusiaan yang dilakukan di luar negara sekiranya suspek adalah warganegara Sepanyol, penduduk tetap di Sepanyol, atau warga asing yang berada di Sepanyol yang ekstradisinya telah ditolak. – AGENSI
