Siti Nurhaliza ‘mendunia’, diiktiraf Legenda Muzik Asia Tenggara

SUBANG: Biduanita negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, 46, sekali lagi membuktikan statusnya sebagai penyanyi nombor satu negara apabila namanya diiktiraf oleh agensi antarabangsa, SeaAsia Stats, sebagai Legenda Muzik Asia Tenggara selepas meraih lebih 300 anugerah sepanjang lebih tiga dekad bergelar anak seni.

Siti berkata dia terkejut tetapi bersyukur atas pengiktirafan itu, yang dimaklumkan menerusi laman Instagram agensi berkenaan semalam.

“Saya pun baru tahu. Alhamdulillah, terima kasih. Saya pun tak fikir pasal ini kerana sibuk. Tapi kalau ada pihak yang menghargai, saya bersyukur.

“Saya bekerja selama ini pun kerana cinta dan minat saya terhadap muzik,” katanya ditemui di Paddle For Hope, kejohanan Pickleball anjuran Yayasan Nurjiwa di Grand Pickleball Arena, di sini, petang tadi.

Pengiktirafan ini diberikan kerana Siti terus mengekalkan takhtanya sebagai artis Malaysia yang masih relevan dan laris sehingga kini, malah prestasinya pernah direkodkan dalam Malaysia Book of Records pada 2001.

Beliau juga pernah berada di tangga ke-27 daripada 100 penghibur terkemuka dunia yang menerima anugerah terbanyak.

Mengulas lanjut, Siti berkata, pencapaian ini tidak mengubah fokusnya dalam berkarya.

“Menang anugerah atau tidak, saya tetap akan lakukan yang terbaik. Saya buat semua ini bukan semata-mata untuk anugerah tetapi kerana cinta terhadap seni.

“Saya kini berada dalam fasa memberi semula kepada masyarakat melalui apa yang saya lakukan. Apa yang penting, saya teruskan kerja bagus kerana sudah menjadi tugas saya untuk membahagiakan orang,” katanya.

Siti sebelum ini turut menerima Anugerah Khas Biduanita Negara sempena Anugerah Seni Negara 2024 (ASN 2024) anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Selain Siti, penyanyi Indonesia, Iwan Fals, turut disenaraikan sebagai ikon muzik protes yang menjadi suara rakyat sejak era 1980-an. – BH

More From Author

Selangor jadi mangsa The Cats

Nikah dalam gelap