Selangor jadi mangsa The Cats

KUALA LUMPUR: Kuching City menjadi pasukan ketiga yang mengalahkan Selangor dalam saingan Liga Super musim ini apabila merekodkan kemenangan 1-0 di Stadium Negeri, Kuching, sebentar tadi.

Beraksi dalam cuaca panas, ia seakan memberi kesan kepada persembahan kedua-dua pasukan dengan tidak banyak percubaan berbahaya berjaya dilakukan pada babak pertama.

Kuching City berdepan detik mencemaskan pada minit ke-39 apabila pemain tengah mereka, Danial Amier Norhisham dilayangkan kad merah susulan tindakannya mengasari Alvin Fortes.

Skuad The Cats bagaimanapun lega apabila kad merah itu ditarik balik oleh pengadil, Tuan Mohd Yaasin Tuan Mohd Hanafiah selepas menyemak video bantuan pengadil (VAR) dengan Danial Amier hanya diberikan kad kuning.

Aksi lebih menarik dipamerkan pada babak kedua dengan Selangor melakukan beberapa percubaan terutama menerusi rembatan leret Fortes pada minit ke-55 yang berjaya ditepis penjaga gol Kuching City, Haziq Nadzli.

Kuching City turut mendapat peluang untuk memecah kebuntuan jaringan menerusi satu gerakan serangan balas pada minit ke-61, namun percubaan Ramadhan Saifullah Usman diselamatkan penjaga gol Selangor, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi.

Namun, Ramadhan menebus kekecewaan itu tujuh minit kemudian apabila sepakan percumanya berjaya menewaskan Kalamullah, sekali gus membuatkan Stadium Negeri bergema dengan sorakan penyokong.

Lebih manis, jaringan itu memberi tiga mata berharga buat skuad kendalian Aidil Sharin Sahak selepas Selangor gagal mendapatkan jaringan penyamaan hingga wisel penamat.

Kemenangan itu juga membolehkan Kuching City merampas kedudukan keempat liga dari Selangor dengan mengumpul tujuh mata selepas mengharungi empat perlawanan.

Selangor yang sebelum ini tewas kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Negeri Sembilan jatuh ke tangga kelima, kekal dengan enam mata hasil kemenangan ke atas Terengganu FC dan DPMM FC. – BH

More From Author

Taufan Ragasa ancam utara Filipina

Siti Nurhaliza ‘mendunia’, diiktiraf Legenda Muzik Asia Tenggara