KUALA TERENGGANU: Sistem terminal MyKasih bagi penebusan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) RM100 terus bermasalah buat hari kedua hari ini berikutan terlalu ramai mahu menebusnya sejak semalam.
Tinjauan Kosmo! di beberapa pasar raya sekitar bandar raya ini dan Kuala Nerus mendapati sistem terminal itu hanya berfungsi baik dalam tempoh sejam setengah selepas pasar raya mula dibuka pada pukul 9 pagi.
Begitupun sebahagian pengguna terutama yang datang awal berjaya melakukan transaksi menebus Sara bagi membeli barangan keperluan.
Seorang pekerja pasar raya yang mahu dikenali sebagai Aila berkata, masalah sistem berulang berlaku sehingga mengganggu kelancaran operasi di kaunter pembayaran.
“Sekitar pukul 10.30 pagi sistem sudah tidak boleh digunakan. Kadang-kadang boleh, kadang-kadang tidak. Semalam pun sama sampai ramai yang terpaksa pulang hampa dengan tangan kosong.
“Semalam saya dan rakan-rakan juga terpaksa kerja lebih masa bagi melayan pelanggan mahu menebus Sara yang terlalu ramai,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
Aila berkata, pengurusan pasar raya telah mengambil inisiatif membuka kaunter tambahan untuk pelanggan Sara, namun masalah sistem yang kerap tergendala menjadi cabaran utama.
Sementara itu, seorang penerima, Siti Nur Ain Zulkifli, 32, berkata, dia bersama dua adiknya lega dapat juga menebus Sara bagi membeli barangan dapur buat ibu mereka biarpun perlu menunggu lama. – KOSMO! ONLINE
