KUALA LUMPUR: Juara Liga Super 11 kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) dikatakan bakal mendapat sentuhan perancang tengah kelab Real Zaragoza, Ager Aketxe.
Ia selepas kelab Sepanyol itu, semalam mendakwa mereka mencapai persetujuan dengan Harimau Selatan bagi perpindahan bintang berusia 31 tahun itu.
“Real Zaragoza dan JDT mencapai persetujuan bagi perpindahan Ager Aketxe ke pasukan dari Malaysia itu.
“Aketxe tiba di Zaragoza pada musim lalu dari SD Eibar dan dia sudah beraksi dalam 38 perlawanan, menjaringkan dua gol serta mencatat tiga bantuan jaringan.
“Pihak Real Zaragoza mengucapkan terima kasih kepada Aketxe atas profesionalisme dan mendoakan semoga berjaya dalam fasa baharu kariernya,” kata kelab itu.
JDT ketika ini berada di kedudukan teratas Liga Super selepas merekodkan kemenangan bersih dalam empat perlawanan awal.
Skuad kendalian Xisco Munoz itu turut cemerlang dalam kejohanan lain termasuk menewaskan UM Damansara United 5-0 pada aksi pertama pusingan 16 Piala FA selain mengatasi kelab Singapura, Lion City Sailors 3-1 ketika aksi sulung Kejuaraan Kelab ASEAN. – BH
