JAKARTA: Gelombang demonstrasi yang tercetus di Jakarta dan beberapa bandar besar lain minggu lalu telah menghasilkan satu senarai tuntutan terhadap kerajaan, khususnya berkaitan pembaharuan tadbir urus dan penguatkuasaan undang-undang.
Protes bermula pada 25 Ogos di hadapan kompleks Parlimen oleh kumpulan mahasiswa, namun menjadi huru-hara apabila pihak polis menyuraikan mereka sekitar jam 2 petang.
Aksi bantahan berterusan secara maraton dari 28 hingga 31 Ogos, dengan Jakarta menjadi tumpuan di tiga lokasi utama iaitu bangunan DPR (Dewan Perwakilan Rakyat), Polda Metro Jaya, dan Mako Brimob Kwitang.
Ketegangan memuncak selepas kematian Affan Kurniawan, 21, seorang penghantar makanan yang maut dirempuh kenderaan perisai Brimob ketika demonstrasi pada 28 Ogos.
Insiden itu mencetuskan gelombang bantahan di Bandung, Surabaya, Makassar dan Medan.
Gabungan masyarakat sivil kemudian mengemukakan “17+8 Tuntutan Rakyat: Ketelusan, Reformasi dan Empati”, dengan menekankan 17 tuntutan jangka pendek perlu dipenuhi selewat-lewatnya 5 September, manakala lapan tuntutan jangka panjang mesti direalisasikan dalam tempoh setahun, sebelum 31 Ogos 2026.
17 tuntutan jangka pendek antaranya: Menarik balik peranan tentera (TNI) daripada tugas keselamatan awam, menghentikan penganiayaan terhadap penunjuk perasaan, membentuk pasukan siasatan kematian Affan Kurniawan, membekukan kenaikan elaun dan gaji anggota DPR, membebaskan semua penunjuk perasaan yang ditahan, serta menjamin upah pekerja dan membuka dialog dengan kesatuan buruh.
Lapan tuntutan jangka panjang pula termasuk: Merombak dan memperbaharui sistem DPR, mereformasi parti politik dengan laporan kewangan terbuka, membentuk dasar cukai yang adil, meluluskan Rang Undang-Undang Rampasan Aset, mereformasi pasukan polis agar lebih profesional, memastikan TNI kekal peranannya, mengukuhkan badan hak asasi manusia dan badan pemantau bebas, serta menilai semula dasar ekonomi dan tenaga kerja termasuk undang-undang cipta kerja.-Agensi