KUALA LUMPUR: “Perasaan itu bercampur-baur. Ada gembira, sebak, sedih…. Semua bercampur. Dua tahun saya tunggu untuk peluk ibu kembali.”
Demikian luahan jujur penyanyi dan pelakon, Farahdhiya, apabila akhirnya dapat bertemu semula dengan ibunya yang tiba di sini, dari England, baru-baru ini, selepas terpisah kerana masing-masing berdepan fobia menaiki kapal terbang.
Bagi Farahdhiya atau nama sebenar, Nur Faradhiya Mohd Amin, 41, pertemuan itu seolah-olah melepas rindu yang sekian lama terbuku.
“Alhamdulillah, ibu pilih untuk terbang ke sini. Saya sendiri sebenarnya takut naik kapal terbang. Jadi, selepas dua tahun berjauhan, apabila dia muncul di depan mata, hanya Allah tahu betapa gembira dan bersyukurnya saya,” katanya kepada BH Online.
Sepanjang berjauhan, penyanyi berdarah kacukan Melayu-Inggeris itu hanya mampu menatap wajah ibunya menerusi panggilan video.
Walaupun teknologi banyak membantu, tiada apa yang mampu menandingi hangatnya pelukan.
“Dalam seminggu beberapa kali juga kami video call. Tapi bila dapat bersua, peluk dan genggam tangan ibu… perasaan itu jauh lebih bermakna. Tiada teknologi mampu mengganti nikmat itu,” luahnya.
Farahdhiya turut mengakui antara yang paling dirindui ialah kehadiran ibu yang sentiasa menceriakan suasana rumah.
“Rumah jadi sunyi bila hanya saya dan adik. Tapi apabila ibu ada, terasa kembali seperti dulu. Ibu jenis yang kejap-kejap ketuk pintu bilik dan selalu ada bersama.
“Bahkan, bebelannya pun saya rindukan… Itulah tanda kasih seorang ibu,” ungkap penyanyi Bertakhta Di Hati itu.
Sepanjang tiga bulan ibunya berada di Malaysia, Farahdhiya merancang untuk membawanya melawat beberapa tempat menarik, sekali gus mengisi kembali masa yang hilang.
Dalam kesempatan itu, Faradhiya menitipkan pesan penuh makna buat peminat agar tidak menangguh berbakti kepada ibu bapa.
“Ketika arwah ayah saya sakit, saya yang menjaganya. Dari situ saya belajar, jangan tunggu esok atau nanti. Selagi ada tenaga, masa dan kemampuan, jagalah mereka sebaik mungkin.
“Kita tak tahu sampai bila peluang itu ada. Jangan tunggu sehingga terlambat untuk menunjukkan kasih sayang,” katanya. – BH
