Pemimpin Arab, Islam gesa Trump pimpin proses damai di Gaza

NEW YORK: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto bersama pemimpin Arab dan Islam menggesa Presiden AS, Donald Trump memimpin proses damai di Semenanjung Gaza, lapor Agensi Berita ANTARA.

Permintaan itu disampaikan semasa mesyuarat pelbagai hala mengenai Gaza yang dipengerusikan Presiden AS itu dan dihadiri Prabowo bersama wakil dari Mesir, Jordan, Qatar, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Turkiye, menurut Menteri Luar Sugiono.

“Mereka meminta kepimpinan AS dalam menyelesaikan isu Gaza dan Palestin,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di New York semalam.

Menurut Sugiono, pada mesyuarat berlangsung di luar Perhimpunan Agung PBB itu, Trump dimaklumkan oleh pemimpin-pemimpin berkenaan mengenai situasi semasa di Asia Barat, khususnya negara-negara yang bersempadan dengan Palestin.

“Mereka turut menyampaikan harapan agar AS terbabit dalam usaha mencapai gencatan senjata, seterusnya perdamaian serta merealisasikan penyelesaian dua negara,” katanya.

Sugiono berkata, Prabowo menegaskan semula komitmen Indonesia untuk menyumbang dalam semua peringkat proses damai di Gaza termasuk menghantar pasukan pengaman atas mandat Majlis Keselamatan PBB (UNSC).

“Prabowo menawarkan jumlah yang signifikan iaitu 20,000 anggota pengaman, bukan sahaja untuk Gaza dan Palestin tetapi juga bagi wilayah lain di dunia,” katanya.

Walaupun mesyuarat itu diadakan secara tidak rasmi, Sugiono menjelaskan ia berlangsung secara produktif dengan maklum balas positif daripada Trump.

Beliau turut menekankan wujudnya kemajuan dalam perbincangan mengenai konflik di Asia Barat dan gencatan senjata di Gaza.

“Saya percaya Trump memberi maklum balas positif kerana kita tahu terdapat bencana kemanusiaan yang sedang berlaku,” katanya.

Sementara itu, Trump menyifatkan pertemuan dengan Prabowo serta pemimpin Arab dan Islam bagi membincangkan isu Gaza sebagai ‘sangat penting’, menurut laporan Anadolu Ajansi.

“Kami akan berbincang mengenai Gaza. Kami akan lihat sama ada boleh melakukan sesuatu mengenainya.

“Kami mahu menghentikannya. Kami mahu membawa pulang tawanan kami atau tawanan mereka,” katanya. – ANTARA

More From Author

Arteta anggap ketiadaan Madueke satu kehilangan besar

Aktivis dakwa flotila bantuan Gaza diserang ‘pelbagai dron’