Pearly-Thinaah setaraf gandingan terbaik dunia

KUALA LUMPUR: Beberapa kekalahan di pentas final tidak boleh dijadikan kayu ukur sebenar kemampuan beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah terutama mengenai kualiti dimiliki mereka berbanding gandingan nombor satu dunia, Liu Sheng Shu-Tan Ning.

Ketua jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak menegaskan meskipun anak buahnya itu tewas dalam beberapa aksi final termasuk di Kejohanan Dunia di Paris, dia percaya jurang dengan gandingan China itu makin mengecil malah mungkin hampir sudah tiada.

Rosman berkata, situasi sebelum dan ketika perlawanan yang kerap berubah memerlukan analisis dan perancangan rapi sentiasa dilakukan sebelum perlawanan sebagai persiapan menghadapi situasi sebenar di dalam gelanggang yang turut menuntut pemain untuk membuat penyesuaian taktikal segera.

“Memang sebelum perlawanan dengan semasa perlawanan itu banyak perbezaannya. Jadi sebelum perlawanan kita kumpulkan semua fakta, kita kaji apa yang kita kurang dan apa kekuatan lawan.

Tetapi dalam perlawanan, keadaan sentiasa berubah. Ini disebabkan prestasi pemain berubah, prestasi lawan juga berubah, dan taktikal lawan pun berubah. Jadi, taktikal permainan semasa itu sangat penting,” kata Rosman ketika ditemui baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Rosman mengakui persaingan dalam acara beregu wanita ketika ini cukup terbuka yang menyaksikan mana-mana pasangan dalam kelompok 10 terbaik dunia mampu menewaskan antara satu sama lain.

Katanya, apa yang menjadi kelebihan buat Pearly-Thinaah adalah komitmen dan usaha berterusan mereka untuk sentiasa memperbaiki setiap kelemahan dalam permainan.

“Dari segi latihan dan aspek lain, mereka sangat mengutamakan perkara itu. Keinginan mereka untuk menang sangat tinggi, mereka tidak mahu mengalah dan sentiasa mencari bermacam-macam solusi.

“Itu sangat penting kerana kita mengharungi tempoh kejohanan yang panjang dengan kalendar yang padat,” kata Rosman.

Naib juara dunia, Pearly-Thinaah akan memulakan kempen Terbuka Hong Hong, esok menentang beregu Taiwan, Chang Ching Hui-Yang Ching Tun. – BH

More From Author

Arif Aiman kekal berbisa

Fattah Amin, Amira nikah Ahad ini