LONDON: Pemain tengah Villarreal, Thomas Partey mengaku tidak bersalah atas pertuduhan rogol dan serangan seksual melibatkan tiga wanita di mahkamah London, hari ini.
Partey, pemain antarabangsa Ghana dituduh atas lima pertuduhan rogol terhadap dua wanita, serta satu pertuduhan serangan seksual terhadap wanita ketiga, antara April 2021 dan Jun 2022.
Kesalahan yang didakwa berlaku ketika Partey masih bermain untuk kelab Liga Perdana Inggeris, Arsenal. Dia meninggalkan kelab tersebut pada musim panas ini dan menandatangani kontrak dengan kelab Sepanyol, Villarreal.
Pemain berusia 32 tahun itu tampil di kandang tertuduh di Mahkamah Southwark Crown dan hanya bercakap untuk mengesahkan nama dan tarikh lahirnya serta untuk mengemukakan pengakuan tidak bersalah.
Partey dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu perbicaraan yang dijadualkan bermula pada 2 November 2026, dan dijangka berlangsung selama enam hingga lapan minggu.
Beliau ditandatangani oleh Arsenal dari Atletico Madrid dengan harga 50 juta euro pada 2020 dan menjadi tonggak utama pasukan utama kelab Inggeris itu, sebelum kontraknya tamat pada penghujung Jun lalu.
Partey beraksi untuk Villarreal dalam perlawanan Liga Juara-Juara menentang seteru utama Arsenal, Tottenham Hotspur, awal pagi tadi.
Dia masuk sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua dan dicemuh oleh penyokong Spurs setiap kali menyentuh bola. – REUTERS
