Mourinho dijangka kembali ke Benfica selepas 25 tahun

LISBON: Jose Mourinho dijangka kembali mengendalikan Benfica selepas 25 tahun mengucapkan selamat tinggal kepada kelab Portugal itu.

Lebih menarik, jika dia menerima tawaran itu dia akan berdepan bekas kelabnya, Chelsea dalam tempoh dua minggu lagi dalam saingan Liga Juara-Juara.

Mourinho, 62, kini bertindak sebagai ejen bebas selepas dia dipecat Fenerbahce susulan kegagalan kelab Turkiye itu layak ke saingan Liga Juara-Juara selepas tewas dalam aksi play-off kepada Benfica.

Kemungkinan itu tercetus selepas Benfica memecat ketua jurulatihnya, Bruno Lage susulan kekalahan 2-3 kepada Qarabag dalam perlawanan Liga Juara-Juara pagi tadi.

Dalam satu kenyataan, Benfica berkata mereka mencapai persetujuan untuk berpisah dengan Lage, selepas kekalahan mengejut dalam peringkat kumpulan Liga Juara-Juara itu.

Mourinho yang juga bekas pengurus Chelsea, Real Madrid dan Inter Milan itu memulakan kerjaya kejurulatihannya di Benfica, sebelum berpindah ke seteru mereka, FC Porto, dan membawa kelab itu merangkul kejuaraan Liga Juara-Juara pada 2004. – AGENSI

More From Author

Inkues kematian Zara: Dompet didakwa dicuri arwah, dijumpai di blok akademik 15 Julai – Saksi

Partey didakwa lima tuduhan rogol dua wanita