Lelaki tembak polis diburu, tinggalkan kereta ada mayat wanita

IPOH: Seorang anggota polis cedera ditembak dan ditikam dalam pergelutan dengan lelaki yang kemudian dikesan membawa mayat wanita dalam kereta dipandunya di Simpang Pulai di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian berkenaan, konstabel polis berusia 26 tahun itu cedera ditembak di perut dan ditikam manakala pistol miliknya turut dilarikan suspek.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin, berkata pasukan rondaan pencegahan jenayah dari Balai Polis Simpang Pulai mengesan sebuah kereta mencurigakan di Taman Desa Pakatan kira-kira jam 1.15 pagi tadi.

“Apabila anggota bertugas cuba menahan kenderaan itu, suspek terus memecut untuk melarikan diri.

“Kereta suspek kemudian berhenti di kawasan kebun kelapa sawit sebelum berlaku pergelutan membabitkan suspek dan anggota polis yang mengejarnya.

“Ketika bergelut, suspek merampas senjata anggota itu lalu menembaknya di bahagian perut.

“Mangsa turut ditikam sebelum suspek melarikan diri bersama pistol terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noor Hisam berkata, pemeriksaan lanjut ke atas kereta dipandu suspek menemukan mayat seorang wanita di bahagian tempat duduk belakang.

“Bedah siasat akan dijalankan di Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) bagi mengenal pasti identiti serta punca kematian wanita berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, anggota polis berkenaan dalam keadaan stabil dan mendapatkan rawatan di HRPB.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302/307 Kanun Keseksaan serta Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Noor Hisam berkata, polis giat mengesan suspek dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superintendan Fadli Ahmad di talian 012-2500019. – BH

More From Author

SPRM umumkan perincian kes rasuah berprofil tinggi Selasa ini – Azam

Budu, nasi kerabu antara 213 makanan diiktiraf Warisan Kebangsaan