Budu, nasi kerabu antara 213 makanan diiktiraf Warisan Kebangsaan

KOTA BHARU: Sebanyak 213 makanan telah diiktiraf sebagai Warisan Kebangsaan, termasuk juadah dari Kelantan seperti nasi kerabu, kuih jala emas, budu, akok dan solok lada.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Shaharuddin Abu Sohot, berkata pihaknya sangat komited dalam mempromosi, memartabat serta melestarikan seni, budaya dan warisan negara.

Bagi tujuan itu, katanya, langkah dilaksanakan termasuk menyediakan bantuan kewangan kepada badan bukan kerajaan (NGO) dan korporat melalui Geran Sokongan Sektor Kebudayaan serta Geran Sokongan Sektor Pelancongan.

Beliau berkata, Festival Citarasa Warisan @Pantai Timur ialah antara inisiatif MOTAC ke arah itu, terutama bagi makanan yang sudah mendapat pengiktirafan sebagai Warisan Kebangsaan bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005.

“Selain itu, festival ini mengetengahkan makanan warisan yang hampir pupus seperti itik solor, kerabu beko, nasi 100, ros lidah dan apam bakar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian festival itu yang disempurnakan oleh Sultanah Kelantan, Sultanah Nur Diana Petra Abdullah, di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, Shaharuddin berkata, festival itu bukan saja menggembirakan pengunjung, malah memberi impak positif kepada ekonomi tempatan dengan meningkatkan pendapatan peniaga dan menyokong industri makanan warisan.

“Festival ini membawakan lebih 150 juadah makanan warisan dari 10 daerah di Kelantan dengan kerjasama Pertubuhan Perkumpulan Perempuan Kelantan dan Majlis Kraf Malaysia.

“Penganjuran program seperti ini bukan saja dapat memperkenalkan makanan warisan negeri hingga ke akar umbi, tetapi ia turut memberi pulangan pendapatan kepada komuniti Kelantan,” katanya. – BH

More From Author

Lelaki tembak polis diburu, tinggalkan kereta ada mayat wanita

Kes Zara Qairina: ‘Amung Kamaruddin’ ugut pakar patologi ditahan polis