SUNDANCE: Robert Redford jarang kelihatan di Sundance pada tahun-tahun terakhir hayatnya, namun legenda Hollywood itu kekal sebagai figura besar di festival filem berpengaruh Amerika Syarikat (AS) yang turut diasaskannya.
Ditubuhkan pada 1980-an untuk menyokong pengarah kreatif dan bebas pada era di mana filem-filem pecah panggung seperti “Jaws” dan “Star Wars” yang menguasai Hollywood, Sundance bagi ramai pembikin filem adalah lambang sebenar legasi Redford.
“Memikirkan tentang kepentingan Robert sama seperti memikirkan tentang kepentingan bulan – ia sangat besar kesannya,” kata David Osit, seorang pengarah dokumentari “Predators” yang ditayangkan perdana di Sundance tahun ini.
“Kesannya sukar difahami. Saya tidak tahu bagaimana rupa profesion ini tanpa pengaruhnya, terutama dalam dunia filem bebas,” katanya kepada AFP.
Bertahun-tahun sebelum peranannya yang terkenal dalam “Butch Cassidy and the Sundance Kid”,Redford yang berasal dari California telah membeli sebidang tanah kecil di kawasan pergunungan bersalji yang indah di Utah.
Lembah itu menjadi lokasi pertama Institut Sundance yang diasaskan Redford, yang menyediakan sumber dan latihan kepada pengarah filem muda, dan kemudiannya menjadi tapak Festival Filem Sundance – satu acara tahunan bagi tayangan filem bebas baharu yang mengubah landskap industri filem AS.
Diadakan setiap musim sejuk dalam suhu bawah sifar pada ketinggian 7,000 kaki (2,150 meter), Festival Sundance terkenal sebagai pemangkin kepada kerjaya pengarah seperti Quentin Tarantino dan Steven Soderbergh.
Ia juga menjadi pentas tayangan perdana bagi banyak dokumentari yang memenangi Oscar, termasuk tajuk-tajuk terkini seperti “20 Days in Mariupol,” “Navalny,” dan “Summer of Soul.”
Kira-kira 4,000 filem cereka telah ditayangkan di festival ini sepanjang tahun, majoritinya daripada pengarah yang tidak terkenal dan memiliki bajet yang terhad.
“Di Amerika Syarikat, biasanya tiada dana kerajaan untuk artis muda seperti di negara lain,” kata Richard Heredia-Arriaga, seorang pengarah yang telah terlibat dengan platform dalam talian Sundance Collab selama hampir sedekad.
“Itulah yang menjadikan Sundance begitu istimewa bagi pembikin filem Amerika, khususnya, kerana ia menjadi platform untuk karya anda dilihat dan pada asasnya diiktiraf secara profesional.”
Apabila ia semakin berkembang, Sundance mula menarik unsur-unsur komersial yang pada asalnya cuba dielakkan — sesuatu yang tidak selalu disenangi Redford.
Apabila usia Redford meningkat dan kesihatannya merosot, penglibatannya dalam festival semakin berkurang, walaupun mesej videonya tetap ditayangkan sebelum filem pembukaan setiap tahun, dan keluarganya terus menjadi penjaga setia legasi Sundance.
Salah satu penglibatan awam terakhir Redford adalah kenyataannya berkenaan pemindahan festival dari lokasi asalnya di pusat peranginan ski Park City, Utah, yang kini telah menjadi terlalu kecil.
Bermula 2027, Sundance akan berpindah ke Colorado.
Misi Sundance “semakin penting hari ini,” dan perpindahan itu “akan memastikan festival ini terus menjalankan peranannya dalam mengambil risiko,” kata Redford.Di luar Teater Mesir Park City — lokasi bersejarah utama bagi tayangan perdana Sundance — penduduk dan pelawat menyuarakan rasa sedih akan pemergian festival itu.”
Komuniti seni sememangnya sangat berterima kasih kepadanya,” kata Peter Mayhew.
Walaupun berpindah ke Colorado, pengaruh Redford tetap akan menjadi nadi kepada jenama Sundance.
“Keberadaannya sentiasa dirasai dalam organisasi ini, kerana semua orang tahu bahawa Bob lah yang mengasaskan semuanya,” tambah Heredia-Arriaga.
Redford yang terkenal di depan dan belakang kamera dengan kerjaya merentasi enam dekad, meninggal dunia awal pagi semalam di kediamannya di Utah pada usia 89 tahun. – AFP