Graduan bisu, pekak gigih berusaha, lulus cemerlang di PIS

JOHOR BAHRU: Kekurangan diri akibat masalah pendengaran dan bisu tidak menjadi penghalang dua graduan Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) menamatkan pengajian.

Hasil kegigihan menelaah pelajaran dan tidak malu bertanya kepada pensyarah dan rakan-rakan nyata berbaloi apabila mereka antara 1,143  graduan yang diraikan dalam Majlis Konvokesyen PIS Ke-30, di sini hari ini.

Bagi graduan Sijil Kemahiran Hotel dan Katering, Tuan Nurin Anis Tuan Muhamad Asri, 21, yang berdepan masalah pendengaran sejak berusia 10 tahun enggan menjadikan kekurangan diri sebagai alasan untuk tidak berusaha dalam pelajaran.

“Saya mengambil masa dua bulan untuk
mempelajari bahasa isyarat untuk memudahkan saya dalam pengajian, namun mujur ada kawan-kawan yang senasib banyak membantu.

“Meskipun ada kekurangan saya tanamkan dalam hati untuk terus berusaha gigih, sekali gus menamatkan pengajian,” katanya selepas majlis konvokesyen yang diadakan di Dewan Tunku Laksamana Abdul Jalil PIS, di sini hari ini.

Berkat usaha keras anak sulung daripada empat beradik dari Banting, Selangor itu berjaya menamatkan pengajian dengan Himpunan Purata Nilai Mata (HPNM) 3.88, sekali gus menerima Anugerah Ketua Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti.

Bagi graduan Sijil Kemahiran Reka Bentuk dan Grafik, Chang Sze Ting, 21,  yang mengalami masalah percakapan dan pendengaran bersyukur kerana banyak mendapat bantuan daripada pensyarah sepanjang tempoh pengajiannya.

Dia yang menamatkan pengajian dengan HPNM 3.57 turut menerima Anugerah Ketua Jabatan Rekabentuk Komunikasi dan Visual hasil usaha gigihnya meskipun berdepan pelbagai cabaran.

“Pada awal pengajian, saya  hadapi masalah komunikasi dan pembelajaran, namun pensyarah dan kawan-kawan banyak bantu.

“Saya harap agar pelajar senasib saya yang ingin melanjutkan pengajian agar tidak berputus asa dan jangan jadikan kekurangan diri sebagai halangan,” katanya menerusi terjemahan oleh pensyarahnya, Suhaili Salleh. – Majestic

More From Author

Legasi Sundance Redford dihargai pembikin filem

‘Hanya kerana dia orang pertama jumpa Zara, orang menuduhnya’