KUALA LUMPUR: Penyanyi terkenal, Lady Gaga diumumkan sebagai Artis Terbaik pada Anugerah Muzik Video MTV (MTV VMA) 2025 yang berlangsung di UBS Arena, New York, pagi tadi (waktu tempatan).
Diiringi sorakan gemuruh, Gaga mendedikasikan kemenangannya itu kepada peminat seluruh dunia sambil mengingatkan betapa pentingnya seni dalam kehidupan.
“Saya tidak dapat gambarkan betapa bermaknanya anugerah ini buat saya. Menjadi seorang artis adalah usaha menyatukan semua orang di seluruh dunia.
“Ia satu disiplin, satu seni yang bertujuan menyentuh hati dan mengingatkan mereka untuk terus bermimpi.
“Tanggungjawab seorang artis adalah membuat audiens senyum, menari, menangis dan melepaskan beban. Ia cara membina persefahaman serta meraikan komuniti. Anda semua layak untuk terus bersinar,” katanya.
Tidak lama selepas itu, Gaga bergegas meninggalkan dewan untuk menjayakan jelajah Mayhem Ball di Madison Square Garden.
Selain Artis Terbaik, Gaga turut meraih Kolaborasi Terbaik menerusi duet Die With Smile bersama Bruno Mars serta dua kategori lain iaitu Pengarahan Terbaik dan Pengarahan Seni Terbaik untuk Abracadabra.
Gaga mendahului senarai pencalonan dengan 12 kategori, diikuti Bruno Mars dan Kendrick Lamar apabila masing-masing menerima 11 dan 10 pencalonan. – AGENSI
