Kawasan setinggan terbesar Asia di Mumbai bakal diroboh

MUMBAI: Jentolak dijangka memasuki kawasan setinggan terbesar Asia iaitu di tengah-tengah kota metropolitan Mumbai, India untuk meratakan lorong-lorong sempit dan kotor bagi memberi laluan kepada pembangunan kejiranan baharu.

Skim pembangunan semula itu diterajui oleh pihak berkuasa Mumbai bersama hartawan terkenal, Gautam Adani.

Jika projek ini diteruskan, jutaan penduduk dan pekerja di Dharavi dijangka akan dipindahkan.

Penduduk pertama Dharavi adalah golongan pelarian daripada bencana kebuluran dan banjir di Gujarat, kira-kira 600 kilometer ke utara, mula menetap di kampung nelayan itu sejak abad ke-19.

Gelombang demi gelombang penghijrahan sejak itu menjadikan kawasan itu padat sehingga akhirnya menjadi sebahagian daripada bandaraya Mumbai, yang kini mempunyai lebih 22 juta penduduk.

Hari ini, kawasan itu meliputi keluasan 240 hektar dan mempunyai kepadatan penduduk antara tertinggi di dunia – hampir 350,000 orang setiap kilometer persegi.

Rumah-rumah, bengkel dan kilang-kilang kecil dibina rapat-rapat antara dua laluan kereta api dan sebuah sungai yang dipenuhi sampah sarap.

Selama beberapa dekad, Dharavi menjadi nadi ekonomi dan sisi gelap kepada ibu kota kewangan India.

Tukang tembikar, penyamak kulit dan pengitar semula bekerja membakar tanah liat, merawat kulit haiwan dan menguraikan barangan lusuh – industri tidak formal yang dianggarkan menjana pendapatan tahunan mencecah AS$1 bilion. (RM4.2 bilion).

Pengarah Britain, Danny Boyle, pernah menjadikan Dharavi sebagai latar dalam filem pemenang Oscar, Slumdog Millionaire (2008) – namun penduduk menyifatkannya sebagai satu gambaran karikatur yang negatif dan keterlaluan.

Bagi mereka, Dharavi sememangnya kotor dan miskin – tetapi ia penuh dengan kehidupan.

Kini, pembangunan semula Dharavi sedang giat dijalankan – dan di pejabatnya yang luas di pusat bandar, Ketua Pegawai Eksekutif Projek Pembangunan Semula Dharavi (DRP), SVR Srinivas memberi jaminan bahawa ia akan menjadi projek teladan.

“Inilah projek pembaharuan bandar terbesar di dunia,” katanya.

“Kita sedang membina sebuah bandar di dalam sebuah bandar. Ia bukan sekadar projek pembangunan setinggan,” katanya

Risalah promosi menunjukkan bangunan baharu, jalan berturap, ruang hijau dan pusat membeli-belah.

“Setiap keluarga akan menerima sebuah rumah,” kata Srinivas.

“Matlamat utama ialah menempatkan semula ratusan ribu penduduk, sedaya mungkin, di dalam kawasan Dharavi itu sendiri.” – AFP

More From Author

Arteta puji impak Saliba bantu pasukan

Palsu dokumen, FAM dan 7 pemain dikenakan tindakan FIFA