MANILA: Filipina menegaskan negara Asia Tenggara itu, yang juga sekutu ketenteraan Amerika Syarikat (AS), tidak menandatangani sebarang perolehan ketenteraan baharu daripada Israel ketika perang di Gaza masih berterusan.
Setiausaha Pertahanan, Gilbert Teodoro, mengesahkan kepada ahli Parlimen bahawa Manila ‘tidak memasuki kontrak baharu dengan pengeluar senjata Israel’.
“Namun, Tentera Darat Filipina masih meneruskan pembelian peluru daripada pembekal senjata berpangkalan di Israel sebagai sebahagian daripada perolehan terdahulu.
“Buat masa ini, hanya kesinambungan kontrak lama. Kami tiada kontrak baharu dengan mana-mana syarikat berpangkalan di Israel. Isu utama adalah memastikan rantaian bekalan dengan mereka kekal terjamin.
“Sekarang mereka terbabit dalam konflik, saya sendiri tidak selesa jika mereka perlu mengimbangi kontrak luar dengan keperluan dalam negara mereka,” katanya.
Teodoro berkata demikian ketika sesi pendengaran belanjawan Jawatankuasa Peruntukan Kongres Filipina pada Selasa, menurut laporan rangkaian ABS-CBN.
Dalam sesi itu, ahli parlimen Renee Louise Co memaklumkan kepada Teodoro bahawa notis penganugerahan kepada syarikat Elbit Systems bertarikh 11 Ogos 2025 bernilai 248 juta peso (RM 63,334) bagi perolehan peluru berpandu berpandu tepat.
“Elbit Systems adalah syarikat sama yang membiayai genosid dan pembunuhan beramai-ramai ke atas rakyat Gaza, rakyat Palestin,” kata Co kepada jawatankuasa berkenaan.
Bagaimanapun, Teodoro menjelaskan transaksi itu adalah bagi menyokong platform ketenteraan sedia ada, bukannya perolehan baharu.
Beliau mengakui Tentera Darat Filipina tidak mempunyai banyak pilihan selain meneruskan penyelenggaraan platform yang diperoleh sejak 2022.
Namun, Co tetap menggesa Menteri Pertahanan itu supaya menilai semula dan bahkan menghentikan kontrak berterusan ini memandangkan kebimbangan yang telah dibangkitkan secara rasmi.
Filipina secara tradisinya adalah antara pelanggan utama industri pertahanan Israel, merangkumi 8.1 peratus eksport senjata negara itu, menurut laporan Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm (SIPRI) pada Mac lalu.
Angka itu menjadikan Manila pelanggan ketiga terbesar industri pertahanan Israel selepas India (34 peratus) dan AS (13 peratus), sekali gus memperlihatkan kepentingan keputusan penggantungan semasa itu. – AGENSI
