Aziz M Osman, anak perempuan tarik diri selepas 4 minggu berjuang dalam program realiti

SHAH ALAM: Pengarah dan pelakon, Aziz M Osman bersama anak perempuannya, Ara Aziz membuat keputusan mengejutkan apabila menarik diri daripada program realiti Talk To My Manager (TTMM) selepas empat minggu berjuang.

Aziz berkata, keputusan itu dibuat selepas berbincang bersama keluarga, termasuk bekas isterinya yang juga ibu Ara kerana mendapati mereka berdepan masalah membahagikan masa antara komitmen kerja, pelajaran dan tanggungjawab lain.

“Keputusan ini memang berat untuk kami, tetapi tidak dapat dielakkan. Apabila terbabit dengan program ini, komitmennya 100 peratus, terutama bagi pengurus yang perlu mereka bentuk corak persembahan setiap minggu.

“Kami sudah mula memikirkan perkara ini sejak minggu kedua lagi. Pada awalnya, kami cuba bertahan hingga minggu kelima, tetapi beban semakin berat untuk ditanggung. Akhirnya, kami mengambil keputusan untuk mengundurkan diri,” katanya kepada Harian Metro.

Mengulas mengenai prestasi anaknya, Aziz mengakui Ara memiliki bakat unik dan niche tersendiri, malah setiap persembahannya sebelum ini sentiasa bercerita dengan elemen lakonan.

“Untuk hasil sebegitu, saya sendiri perlu memberi fokus penuh sehingga terpaksa mengabaikan kerja lain. Ara juga dalam masa sama masih meneruskan pelajarannya, jadi kami perlu membahagikan masa dengan sebaiknya,” katanya.

Sementara itu, Ara berkata, walaupun mahu terus bersaing, dia menghormati keputusan bapanya selepas mengambil kira keadaan sebenar.

“Ara sangat minat dengan program ini, tapi keputusan dibuat bersama kerana kami ada banyak komitmen lain. Sukar untuk fokus hanya pada satu perkara.

“Kalau dibandingkan dengan peserta lain, mereka lebih menyerlah dalam nyanyian. Ara rasa tidak dapat memberi sepenuhnya, jadi lebih baik beri peluang kepada orang lain untuk benar-benar menyerlah,” katanya.

Menurut Ara, faktor paling besar yang mendorong mereka membuat keputusan menarik diri adalah kerana beban komitmen yang terlalu banyak untuk ditanggung pada masa sama.

Aziz dan Ara pada awalnya berada di tangga tiga terbawah sebelum diumumkan selamat, sekali gus pasangan ibu dan anak, Sharifah Zarina dan Athalia Deena diumum tersingkir.

Namun, Sharifah Zarina dan anak perempuannya kemudian diumumkan selamat dan dapat meneruskan perjuangan selepas Aziz dan Ara menarik diri. – HARIAN METRO

More From Author

Indonesia berisiko banjir besar hingga Februari 2026

Banjir, tanah runtuh di Tuaran, penduduk diminta berjaga-jaga