JOHOR BAHRU: Seramai 12 individu termasuk tujuh pegawai penguat kuasa yang bertugas di Terminal Feri Pasir Gudang, Terminal Feri Muar dan Terminal Feri Melaka ditahan reman dua dan lima hari bermula hari ini.
Perintah reman terhadap kesemua suspek dikeluarkan Majistret Suhaili Sapun.
Menurut sumber, kesemua suspek ditahan kerana disyaki terlibat kegiatan rasuah membabitkan sindiket ‘counter setting’ untuk memudahkan urusan kemasukan warganegara Indonesia ke negara ini.
Suspek yang terdiri daripada 10 lelaki dan dua wanita berusia antara 20 hingga 50-an itu ditahan di sekitar Johor dan Pulau Pinang, semalam.

Siasatan awal mendapati kesemua pegawai penguat kuasa berkenaan dipercayai menerima bayaran lebih RM490,000 daripada ejen serta ‘runner’ yang turut ditahan dalam operasi ini selepas dipercayai aktif sejak tahun lalu hingga awal tahun ini.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut merampas dan menyita pelbagai barangan seperti wang tunai kira-kira RM50,000, kereta Toyota Vellfire serta motosikal Italjet Dragster.
Difahamkan SPRM juga telah membuat permohonan bagi membekukan sebanyak 25 akaun bank milik 13 individu berlainan melibatkan nilai RM1.2 juta.
Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Hairuzam Mohmad Amin@Hamim mengesahkan tangkapan tersebut dan memberitahu kes disiasat di bawah Sekyen 17(a) dan Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.