JOHOR BAHRU: Parti Amanah Negara (Amanah) negeri ini menolak sebarang bentuk dominasi atau sikap ‘abang besar’ oleh mana-mana parti sekiranya Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bersetuju ‘bersama’ dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.
Justeru, Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Sr. Dzulkefly Ahmad menegaskan, sebarang rundingan kerjasama bagi menghadapi PRN tersebut mesti berlangsung secara matang, setara dan saling menghormati antara semua parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan.
“Amanah Johor menolak sebarang bentuk dominasi atau sikap ‘abang besar’ daripada mana-mana parti, sama ada dalam Pakatan Harapan mahupun Barisan Nasional.
“Rundingan kerusi, strategi kempen dan pembahagian tanggungjawab harus dilaksanakan dengan mengambil kira kekuatan serta sumbangan setiap parti, bukan berdasarkan kedudukan sejarah atau jumlah kerusi semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Beliau berkata, walaupun PH tidak berada dalam Kerajaan Negeri Johor, namun peranan PH selaku tunggak utama Kerajaan Perpaduan banyak membantu kerajaan negeri dalam menjana ekonomi yang lebih mampan menerusi Zon Ekonomi Khas Johor-Singaoura (JS-SEZ), Zon Kewangan Khas Forest City, projek RTS dan Landasan Berkembar Gemas-Johor Bahru.
“Kami percaya kejayaan Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri hanya dapat dicapai menerusi semangat muafakat tulen dan perundingan yang adil,” katanya.
Dzulkefly berkata, semua rakan gabungan perlu menghormati pandangan antara satu sama lain kerana rakyat Johor mengharapkan kepimpinan yang bersatu, bukannya pertikaian dalaman yang mencetuskan persepsi negatif. – Majestic
